Polis menahan dua lelaki berhubung kejadian di Rantau yang menyaksikan sekumpulan penyokong parti politik menahan dan memeriksa kereta peronda polis.
Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusopberkata suspek yang merupakan penjual kereta terpakai, 52 dari Seremban dan pemandu lori, 53 dari Rantau ditahan tengah hari tadi.
Kedua-dua mereka ditahan di rumah masing-masing dan dikenal pasti sebagai ahli biasa parti politik, kata Mohamad.
"Siasatan masih dijalankan dan polis sedang mengesan tiga individu lain bagi membantu siasatan," katanya kepada Malaysiakini.
Mohamad sebelum itu memaklumkan kepada pemberita bahawa polis membuat siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (kerana menghalang tugas penjawat awam) berhubung insiden berkenaan.
Semalam, sekumpulan penyokong parti politik menahan kereta peronda polis yang dinaiki dua anggota di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua di Rantau.
Mereka dipercayai bertindak demikian kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian.
Dalam perkembangan sama, Bernama memetik Mohamad sebagai berkata tiga individu lain yang terlibat dalam insiden berkenaan sudah dikenal pasti.
Jelas Mohamad, anggota polis yang terbabit sudah membuat laporan polis hari ini berhubung perkara itu.
“MPV itu tidak memasuki kawasan sekolah, sebaliknya berhenti di luar pagar bagi mengawal keadaan lalu lintas dan keselamatan.
“Kemudian datang lima lelaki mendakwa anggota kami membawa lebihan kertas undi. Apa hak mereka untuk memeriksa MPV polis kerana mereka orang awam," katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya, dua anggotanya sepatutnya tidak membenarkan pemeriksaan namun, melakukannya bagi mengelak berlaku kekecohan.
“Apabila bonet kereta dibuka, hanya peti ubat dan peralatan keselamatan sahaja yang ada. Kami harap tindakan itu memuaskan hati mereka.
“Saya tegaskan polis hanya mengiringi kenderaan lain, bukan membawa lebihan kertas undi. Polis juga tidak dapat melakukan tangkapan kerana jumlah penyokong mereka begitu ramai," katanya.