Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco Johor akan dirombak, kata MB baru
Diterbitkan:  Apr 14, 2019 12:53 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Barisan exco Johor akan dirombak dengan mengutamakan wakil rakyat yang memberikan kerjasama yang selesa, kata menteri besar Dr Sahruddin Jamal.

Beliau yang mengangkat sumpah hari ini berkata, rombakan barisan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri itu adalah perkara biasa apabila berlaku pertukaran pucuk pimpinan bagi sesebuah kerajaan.

Katanya jika menteri besar sebelum ini, Osman Sapian, mempunyai pasukan tersendiri, hal yang sama juga berlaku pada beliau.

"Memang apabila terjadi perubahan pucuk pimpinan akan ada perubahan portfolio di mana Osman ada team (pasukan) dia, saya pun ada team saya.

"Saya akan memilih wakil rakyat yang saya selesa bekerja dengan mereka," katanya.

Pada masa sama kata Sahruddin tumpuan kerajaan negeri ialah bekerja bagi memastikan masyarakat Johor mendapat segala kemudahan yang dirancang sebelum ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya sebagai menteri besar di Johor Bahru hari ini.

Sahruddin yang sebelum ini berkhidmat sebagai exco kesihatan, alam sekitar dan pertanian mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru di depan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pagi tadi.

Beliau menjadi menteri besar ke-17 Johor selepas Osman yang meletak jawatan pada 8 April lalu.

Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan surat tauliah dan pengisytiharan pelantikan di Istana Bukit Serene di Johor Bahru pada jam 9.30 pagi tadi.

Dalam pada itu Sharuddin menyifatkan Osman sebagai penggerak utama bagi memastikan Johor terus berada di bawah PH.

Oleh itu katanya, beliau akan meneruskan segala rancangan dan agenda yang telah direncanakan Osman sebelum ini.

"Apa pun saya akan cuba menggalas amanah yang diberikan pada saya dengan sepenuh hati untuk memastikan kemajuan negeri Johor dan yang penting sekarang adalah rakyat.

"Saya mahu memastikan rakyat Johor dapat menikmati segala kemajuan dan pembangunan yang telah dirancang.

"Insya-Allah dengan bantuan semua wakil rakyat, sahabat-sahabat kita dapat bawa Johor lebih maju," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai nasihat Sultan Johor terhadapnya, beliau berkata Sultan Ibrahim mahu beliau menjadi seorang pemimpin amanah dan berintegriti bagi membela nasib rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS