Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kulasegaran: Saya makan di semua kedai makan
Diterbitkan:  Apr 13, 2019 10:23 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran mempertahankan kenyataannya semasa berceramah di Rantau baru-baru ini yang mengundang kecaman pemimpin Umno kerana dikatakan berunsur perkauman.

"Dari segi merayu masyarakat India, saya secara asasnya menunjukkan sokongan saya dengan masyarakat Rantau dengan makan di kedai-kedai mereka.

"Orang yang kenal saya secara peribadi tahu saya makan di semua kedai makan," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Semalam, Malaysiakini melaporkan semasa ceramah malam Khamis lalu, ahli parlimen DAP itu bercakap dalam bahasa Tamil dan mengatakan ketika melawat Rantau, dia lebih suka makan di restoran India.

"Saya datang ke Rantau banyak kali, ada banyak kedai Cina, begitu banyak kedai Melayu, tetapi saya tidak suka makan (di tempat-tempat itu)

"Kita pergi ke kedai Tamil (India). Mengapa? Kerana ini masyarakat kita," katanya dalam klip video 58 saat, yang menjadi tular di media sosial.

Sementara itu, Kulasegaran berkata beliau juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, yang menuduh menteri berkenaan menghasut kaum India di Rantau untuk membenci orang Melayu.

"Saya kritik Umno dalam ucapan saya dan bukan Melayu. Umno hanya parti dan tidak mewakili semua orang Melayu.

"Kedua, saya dituduh menghina (Yang di-Pertuan) Agong dan Permaisuri, yang sangat keterlaluan. Apa yang saya sebut adalah 'orang yang hidup seperti raja dan permaisuri' yang bermaksud individu tertentu memiliki rumah mewah sementara yang lain tidak dapat membelinya.

Menurut Kulasegaran, kenyataannya telah "ditafsirkan secara melampau", manakala Umno dan PAS menunjukkan sikap pelampau agama mereka untuk menyerang DAP berkenaan isu itu.

"Saya ingin mengingatkan Pemuda Umno bahawa masyarakat Melayu bukan hanya terdiri daripada penyokong Umno," katanya.

Bagaimanapun, petikan kenyataan Asyraf dan Kulasegaran yang disebutkan tidak termasuk dalam video yang dirujuk oleh Malaysiakini dalam laporannya yang terdahulu.

Ketua Pemuda Umno itu meminta pihak polis menyiasat menteri berkenaan dan mendakwanya di bawah Akta Hasutan.

Kulasegaran berkempen untuk calon Pakatan Harapan Dr S Streram, yang menentang pemangku presiden Umno Mohamad Hasan dan dua calon bebas dalam pilihan raya kecil DUN Rantau yang berlangsung hari ini.

Dalam klip video itu, menteri itu juga menyeru para pengundi India, yang merupakan 27 peratus daripada pengundi Rantau untuk menyokong calon kaum mereka sendiri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS