Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Liew: Kenapa GPS tak contohi pembangkang Sabah?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata beliau tidak faham mengapa anggota parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mencontohi langkah pembangkang Sabah yang menyokong usaha meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Liew yang menjaga portfolio undang-undang mendedahkan senarai 138 anggota parlimen yang menyokong rang undang-undang (RUU) pindaan itu, dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Berdasarkan senarai itu, empat daripada enam anggota parlimen pembangkang dari Sabah mengundi menyokong RUU itu.

Mereka adalah Anifah Aman (Bebas-Kimanis), Jeffrey Kitingan (GBS-Keningau), Maximus Ongkili (GBS-Kota Marudu) dan Arthur Joseph Kurup (GBS-Pensiangan).

"Empat MP Sabah ini juga sokong. Jadi saya tak faham mengapa GPS tidak mahu sokong?" soalnya.

Dua lagi anggota parlimen pembangkang dari Sabah, Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkecuali manakala Yamani Hafez Musa (Bebas-Sipitang) tidak hadir.

Jika 19 anggota parlimen GPS mengundi menyokong RUU itu, majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan RUU itu akan dapat dicapai.


BacaGPS: Usaha kembalikan status Sabah, S'wak ada kelemahan


Berdasarkan senarai itu, semua anggota parlimen GPS hadir ke Dewan Rakyat pada hari pengundian dan mengatakan mereka akan berkecuali.

Senarai itu turut menunjukkan sejumlah 24 anggota parlimen tidak hadir ketika pengundian, dan empat daripadanya adalah dari Pakatan Harapan (PH).

Mereka ialah Maszlee Malik (Simpang Renggam), Shamsul Iskandar Md Akin (Hang Tuah Jaya), Noor Amin Ahmad (Kangar) dan Muslimin Yahaya (Sungai Besar).

Liew berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan semua anggota parlimen PH untuk hadir ke Dewan Rakyat ketika pengundian.

"Ini arahan akhir yang perlu dipatuhi... Tiada alasan walau (anda) sakit," katanya lagi.

Ditanya berkenaan tindakan terhadap mereka yang tidak hadir, beliau berkata ia bergantung kepada ketua whip parti masing-masing.

"Saya difahamkan, daripada mesyuarat kabinet, ada satu atau dua MP yang memohon (tak hadir) untuk hadir mesyuarat di luar negara," katanya.

Sementara itu, Liew turut mengkritik GPS kerana bertegas mahu frasa "menurut Perjanjian Malaysia 1963" dimasukkan dalam RUU pindaan.

Jika frasa itu dimasukkan, kata Liew, ia akan mencabuli peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan merumitkan lagi keadaan.

 Beliau berkata mendapat nasihat itu daripada peguam negara (AG).

"Kami agak kecewa dengan tindakan GPS. Mereka menafikan hak orang Sarawak (untuk mengembalikan kedudukan negeri-negeri Borneo). Mereka tidak bersikap wajar.

"Mereka begitu degil dan mahu frasa itu... tetapi pendirian AG adalah ia tidak dapat dilakukan dan hanya pengulangan," katanya.

RUU pindaan itu bertujuan mengembalikan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan sebelum pindaan yang dibuat pada 1976.

Ditanya jika kerajaan akan membentangkannya semula tak lama lagi, Liew kelihatan kecewa dan berkata kerajaan tidak tergesa-gesa, apatah lagi dengan pendirian pembangkang berkenaan pindaan itu.

"Saya tak lihat ia berlaku... Mereka (pembangkang) kata mengapa kita begitu tergesa-gesa (untuk bentang).

"Jadi tunggu dan lihat. Ketika perbahasan mereka tanya kenapa kita tergesa-gesa... Jadi kenapa perlu tergesa-gesa untuk pembentangan semula?" soalnya lagi.

Berikut senarai penuh pengundian RUU tersebut pada 9 April lalu:

 



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS