Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjimatan kos ECRL boleh bina 2 KLCC
Diterbitkan:  Apr 12, 2019 3:50 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Pengurangan kos Projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) cukup untuk membina dua lagi menara berkembar Petronas KLCC, kata perunding Malaysia bagi projek itu.

Daim Zainuddin berkata RM21.5bilion atau 32.8 peratus daripada kos awal berjaya dijimatkan, lapor The Star.

“Jajaran baru sepanjang 648km, 40km lebih pendek,” katanya kepada media Malaysia di Beijing hari ini.

KLCC, gambar hiasan

Setelah rundingan beberapa bulan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum itu mengumumkan ECRL diteruskan dengan kos lebih rendah.

Kata PMO kos pembinaan bagi fasa satu dan dua ECRL dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion menjadi RM44 bilion. Kos asal untuk projek tersebut ialah sebanyak RM65.5 bilion.

Daim, bekas peneraju Majlis Penasihat kerajaan ketika kerajaan baru dibentuk selepas 9 Mei, bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Katanya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadual mengadakan sidang media berkaitan perkembangan itu pada Isnin depan.

Menurut laporan awal, fasa 1 projek itu sepanjang 688km akan menghubungi Lembah Klang dan Kuatan manakala fasa kedua pula dari Kuantan ke Kuala Terengganu.

Dalam fasa ketiga jajaran itu dipanjangkan ke Kota Baru dan Tumpat.

Projek ECRL asalnya digerakkan Najib Razak yang ketika itu menjadi perdana menteri. 

Selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada Mei tahun lalu, pelaksanaan ECRL dikaji semula selepas mendapati kosnya terlalu tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS