Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas undi p'raya Indonesia di M'sia, 2 laporan polis dibuat

Dua laporan polis telah dibuat ke atas penemuan kira-kira 50,000 kertas pengundian awal pemilihan presiden Indonesia.

Penemuan kertas undi yang ditanda memihak kepada calon presiden Joko Widodo atau Jokowi dan pasangannya Ma'aruf Amin ditemui di Bangi dan Kajang semalam.

Polis Malaysia setakat ini belum mengulas perkembangan itu yang mencetuskan rasa tidak puas hati di Indonesia yang bakal memilih presiden dan wakil rakyatnya pada 17 April.

“Apa yang saya boleh sahkan adalah dua laporan telah dibuat selepas penemuan semalam,” kata Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin kepada Malaysiakini.

Difahamkan, Ketua Polis Negara, Fuzi Harun dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

Memetik laporan media tempatan Tempo hari ini, perjumpaan antara wakil jawatankuasa pilihan raya Indonesia dengan penyokong Jokowi pencabarnya Prabowo Subianto telah diadakan di Kuala Lumpur.

Pihak polis Malaysia dilapor ditugaskan untuk menjaga dua lokasi di Taman Kajang Utama dan Sungai Tangkas, Bangi, di mana lebih daripada 200 beg kertas undi yang ditandakan masih kekal sejak semalam.

Jokowi semalam menggesa isu itu disiasat oleh badan pengawasan pilihan raya umum (Bawaslu) di Jakarta dan wakilnya di Malaysia.

Malaysiakini difahamkan bahawa wakil Bawaslu telah tiba di Kuala Lumpur hari ini bagi menjalankan siasatan.

Keputusan tersebut dijangka akan diumumkan sebelum Ahad ini, menjelang pengundian awal bagi penduduk Indonesia yang menetap di luar negara.

Seramai 1.5 juta penduduk Indonesia di Malaysia – jumlah pengundi terbesarnya di luar negara – layak mengundi dalam pilihan raya itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS