Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perjawat awam perlu guna saluran yang tepat utarakan pendapat

Penjawat awam khususnya warga pendidik perlu menggunakan saluran yang betul dalam mengutarakan pandangan dan pendapat, bukan sekadar menjadi ‘hero’ tanpa nama atau jaguh siber yang gah di alam maya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun turut menegaskan supaya warga pendidik tidak terlibat dalam memuat naik sebarang tuduhan serta kritikan tidak berasas terhadap kerajaan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya lihat ada dalam kalangan penjawat awam menggunakan media sosial seperti Facebook untuk menghentam kerajaan yang fakta diberikan adalah kurang tepat… mereka boleh menegur kerajaan tetapi biarlah mengikut saluran yang telah ditetapkan.

"Kalau nak sampaikan pandangan tiada masalah, sebab kami bukanlah sebuah kerajaan yang menghalang sebarang pandangan atau kritikan diberikan. Namun jika mahu tegur biarlah fakta yang tepat kalau fakta salah memang tidak dibenarkan sama sekali sebab ia bercanggah dengan etika sebagai penjawat awam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) 2018 di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Aminuddin juga berharap penjawat awam menjaga etika dalam memberi pandangan melalui media sosial selain memberi cadangan membina bagi memperbaiki kelemahan kerajaan sedia ada, menggunakan saluran yang betul.

Terdahulu, Aminuddin ketika berucap dalam majlis itu berkata beliau yakin dengan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sentiasa bersedia menerima pandangan dan cetusan pendapat terutama memperbaiki penyampaian perkhidmatan dalam kementerian ini.

"Setiap pegawai dan kakitangan jabatan ini perlu lebih cakna serta mahir dan mampu menggunakan media sosial sebagai medium interaksi yang cepat dan berkesan dalam memenuhi kehendak semua pihak berkepentingan dan rakyat.

"Segala pertanyaan atau aduan orang awam yang dikemukakan melalui media sosial haruslah diambil peduli serta maklum balas perlu disegerakan," katanya.

Pada majlis itu, Aminuddin turut menyampaikan APC JPNS 2018 kepada 187 penjawat awam di negeri ini.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS