Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kertas undi pemilihan awal memihak Jokowi ditemui di Bangi

Lebih daripada 50 beg plastik yang dipenuhi dengan kertas pengundian awal pemilihan presiden Indonesia dilaporkan ditemui di dua lokasi di Bangi dan Kajang hari ini.

Kertas undi itu ditemui menjelang pengundian awal bagi penduduk Indonesia yang menetap di luar negara Ahad ini.

Portal Online Detik.com memetik ketua jawatankuasa pemantau pilihan raya bagi Kuala Lumpur Yaza Azzahra mengesahkan penemuan kertas undi yang ditandai memihak kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan pasangannya Ma'aruf Amin serta beberapa calon pilihanraya legislatif dari gabungan mereka.

"Saya menerima maklumat sekitar tengah hari dan saya segera pergi ke lokasi di mana terdapat kertas undi yang ditandakan.

“Berdasarkan sampel yang kami ambil, kami dapati kertas undi yang ditandakan dengan majoriti ditandakan untuk '01',” Yaza dilaporkan sebagai berkata.

Beliau merujuk kepada pasangan Jokowi-Ma'aruf yang bertanding dengan bekas panglima tentera Prabowo Subianto dan gandingannya Sandiaga Uno, disenaraikan di kertas undi sebagai "02".

"Kami telah memaklumkan kepada badan pemantau pemilihan (di Jakarta) mengenai perkara ini," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sementara itu, menurut sumber kepada Malaysiakini jumlah kertas undi yang telah ditandakan mencecah 50,000 termasuk di lokasi kedua di Sungai Tangkas, Bangi.

"Terdapat 97 beg yang terdapat di rumah kedai di Taman Kajang Utama dan 158 beg yang ditemui di Sungai Tangkas, setiap beg mengandungi kira-kira 200 undi yang ditandakan," kata sumber itu.


Portal Kumparan.id memetik Pesuruhjaya Badan Pemantau Pemilihan Indonesia, Fritz Edward Siregar pula sebagai mengesahkan menerima laporan itu dan meminta menggantung sementara pemilihan di Malaysia.

"Kami akan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menggantung proses pengundian di seluruh Malaysia sehingga notis selanjutnya," kata Siregar.

Pengundian awal bagi penduduk Indonesia yang menetap diluar negara akan diadakan pada Ahad ini akan dijalankan oleh pewakilan asing bersama dengan jawatankuasa pemantau pilihan raya.

Kira-kira 1.5 juta pengundi berdaftar Indonesia menetap di Malaysia membentuk jumlah terbesar pengundi luar negara republik itu.

Timbalan duta besar Indonesia ke Malaysia Krishna KU Hannan sebelum ini berkata enam pusat pengundian akan dibuka di seluruh negara pada 14 April di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Tawau dan Kota Kinabalu.

Hari ini, beberapa video tular dimedia sosial berkaitan serbuan di sebuah rumah kedai kosong di Bangi.

Serbuan itu dipercayai disertai oleh pasukan polis dari Balai Polis Bangi.

Difahamkan, laporan polis turut dibuat keatas penemuan kertas undi tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof bagi meminta maklum balas.

Difahamkan, perkara itu sedang disiasat oleh Bukit Aman dan satu kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS