Sejumlah pakar astronomi dari Universiti Malaya (UM) menjadi sebahagian daripada pasukan antarabangsa yang berjaya merakam gambar pertama lohong hitam.
Pakar Radio Kosmologi dari Fakulti Sains (Jabatan Fizik) Universiti Malaya Dr Juan Carlos Algaba dipetik The Star berkata para saintis dari universiti berkenaan turut sama menyumbang dalam usaha merakam imej tersebut.
"UM menyumbang kepada projek ini," katanya.
Semalam, suatu pasukan saintis antarabangsa mengumumkan peristiwa penting dalam bidang astrofizik apabila berjaya merakamkan gambar pertama lohong hitam (black hole) menggunakan rangkaian teleskop global.
Penyelidikan dilakukan projek Event Horizon Telescope (EHT) sebuah kerjasama antarabangsa yang bermula pada 2012 cuba untuk meneropong persekitaran langsung lohong hitam.
Pengumuman itu dibuat serentak dalam sidang media di Washington, Brussels, Santiago, Shanghai, Taipei dan Tokyo.
Imej lingkaran cahaya mengelilingi lingkaran gelap itu mendedahkan lohong hitam di pusat Messier 87, sebuah galaksi besar di gugusan galaksi Virgo berhampiran.
Lubang hitam itu terletak sejauh kira-kira 55 juta tahun cahaya dari bumi dan memiliki jisim sebanyak 6.5 bilion kali ganda daripada matahari.
Difahamkan, penyelidik projek terbabit memperoleh data pertama pada April 2017 menggunakan telekskop di Arizona dan Hawaii serta di Mexico, Chile, Sepanyol dan Antartika.
Sementara itu, Ketua Fakulti Sains (Jabatan Fizik) UM Prof Dr Zamri Zainal Abidin pula berkata kejayaan ini pasti akan meningkatkan peranan bidang astronomi di Malaysia.
“Kita berada di era di mana kita dapat melihat lohong hitam secara langsuang, yang pada beberapa tahun lalu hanyalah suatu objek sains fiksyen dan imaginasi popular," katanya.