Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan Pakatan Harapan yang bakal menyambut ulang tahun setahun pentadbirannya telah membatalkan beberapa projek yang diberikan oleh kerajaan terdahulu dan sedang menyemak semula dan melakukan rundingan semula beberapa projek untuk memastikan kosnya munasabah.

Setakat ini, sebanyak 121 projek infrastruktur bernilai RM13.93 bilion di seluruh negara yang ditawarkan menerusi rundingan terus dan tender terhad oleh kerajaan terdahulu telah menjalani rundingan semula dan hasilnya sebanyak RM809.55 juta berjaya dijimatkan.

Ini tidak termasuk projek mega seperti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dengan kos RM31.65 bilion dan Transit Aliran Massa 2 (MRT2) berharga RM39.35 bilion.

 

Kerajaan berjaya mengurangkan kos kedua-dua projek itu masing-masing kepada RM16.63 bilion dan RM30.53 bilion, sekali gus memastikan penjimatan sebanyak RM23.84 bilion kepada kewangan negara.

Kerajaan turut mengambil langkah berani dengan membatalkan projek Saluran Paip Pelbagai Produk, Saluran Paip Gas Sabah dan satu lagi saluran paip menghubungkan Melaka ke loji penapisan dan petrokimia Petronas di Johor.

China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd akur dengan keputusan kerajaan itu dan akan membincangkan pampasan dengan kerajaan Malaysia.

Kerajaan turut membatalkan lesen operasi pelabuhan diberikan kepada KAJ Development Bhd, pemaju pelabuhan laut dalam bersepadu di Melaka Gateway, tetapi syarikat itu telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu.

Antara projek besar yang sedang disemak semula atau diadakan rundingan semula adalah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Wujud kebimbangan bahawa semua projek berprofil tinggi itu tidak akan memanfaatkan Malaysia dan kerajaan tidak mendapat perjanjian terbaik baginya.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, rakan kongsi kanan firma guaman Shook Lin & Bok, Jal Othman, berkata meskipun prinsip am bagi kesucian kontrak itu perlu dipatuhi dan dihormati, undang-undang dalam keadaan terbatas tetap memberikan ruang kepada pihak yang terkilan untuk keluar daripada kontrak yang dimeterai.

Satu contoh jelas adalah apabila kontrak dimeterai oleh kerajaan itu mengandungi atau wujud keadaan tidak sah dan boleh dipertikaikan di sisi undang-undang.

“Rasuah, penipuan jenayah, salah guna kuasa dan salah guna proses sebagai contohnya, mungkin akan menimbulkan keadaan tidak sah di sisi undang-undang yang memadai untuk memberikan hak kepada kerajaan untuk keluar daripada kontrak yang dimeterai sebelumnya,” kata peguam yang mempunyai pengalaman hampir tiga dekad itu.

 

“Apa yang juga amat jelas adalah bahawa bukan setiap kontrak yang “tidak adil” atau tidak munasabah boleh dielakkan atau keluar daripadanya. Undang-undang digubal bukan untuk membantu satu pihak, termasuk kerajaan, untuk keluar daripada urus niaga yang tidak baik.

“Kerajaan perlu mendukung kontrak yang dimeterai kerajaan terdahulu sekiranya harganya tidak terlalu tinggi atau tidak cukup komersial dari segi terma kebolehlaksanaannya,” jelasnya

Jal menjelaskan antara dua aspek iaitu tidak sah di sisi undang-undang dan perjanjian tidak adil, wujud "ruang kelabu” yang kekal tidak diuji dalam arena perundangan.

“Inilah ruang lingkup kontrak yang nyata adalah tidak adil. Meskipun kontrak-kontrak ini bukannya tidak sah, ia adalah jelas tidak adil dan tidak munasabah".

Beliau percaya kerajaan tidak harus dipertanggungjawabkan ke atas kontrak yang telah dimeterai atau diberikan, yang prestasinya jelas tidak menepati kehendak pihak-pihak.

Syarikat konsesi sebaliknya tidak sepatutnya dikayakan secara tidak adil menerusi kontrak berkenaan, katanya.

Ruang kelabu dalam arena perundangan sehingga kini kekal tidak diuji kerana kita tidak menyaksikan sebarang perubahan dalam kerajaan yang mentadbir sekarang, menerusi cara yang dilakukan pada 9 Mei, 2018, kata Jal.

Beliau percaya wujud merit dalam hujahan berhubung ketidakadilan yang nyata.

Kerajaan adalah penjaga kebajikan awam dan ini termasuk dana awam. Bagaimana kerajaan ketika itu menjalankan tugas penting sebagai penjaga dan pemegang amanah dan pada masa yang sama mempertaruhkan kepentingan rakyat dan dana awam kepada kontrak yang jelas tidak adil dan tidak saksama?

Jal turut mengingatkan tentang persoalan pampasan yang perlu dibayar jika keluar daripada kontrak itu.

Prinsip undang-undang pemulangan menuntut syarikat konsesi untuk mengembalikan semua faedah yang diperolehi di bawah kontrak yang diisytiharkan batal.

“Bayaran wang mengikut nilai kontrak mungkin cara untuk mendapatkan semula kredit yang telah diberikan bagi kerja yang telah dilaksanakan.

“Misalnya, di mana terdapat ketidaksepadanan antara kemajuan kerja yang telah dilaksanakan dengan bayaran kontrak yang telah dibayar, akan wujud kes bagi pemulangan faedah-faedah yang diperolehi menerusi kekayaan yang diraih syarikat konsesi secara tidak adil.

“Kita jangan lupa bahawa kerajaan mempunyai hak untuk membatalkan kontrak seperti yang terkandung dalam kontrak itu sendiri. Ini biasanya akan termasuk hak (kerajaan) untuk merampas aset-aset di bawah kontrak dan hak untuk membatalkannya atas alasan kepentingan negara.”

Perkara terakhir dalam aspek undang-undang yang kompleks ini adalah layanan terhadap hak pihak ketiga, katanya dan menurutnya pihak ketiga biasanya adalah pihak pembiaya.

“Pihak pembiaya adalah pihak yang tidak bersalah bagi sebarang kemelut antara kerajaan dan pihak konsesi. Mereka ada hak di bawah kontrak yang kerajaan kini bercadang untuk keluar atau ketepikan.”

Jal berpendapat sebarang langkah diambil oleh kerajaan untuk keluar daripada kontrak perlu dibuat selepas mengadakan perbincangan konstruktif dengan pihak pembiaya.

Dilaporkan kos projek ECRL sepanjang 688-km telah dikurangkan antara RM34.4 bilion dan RM41.3 bilion daripada kira-kira RM55 bilion ketika pertama kali diumumkan oleh kerajaan terdahulu tiga tahun lepas.

Rundingan semula projek itu diketuai bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, yang turut menyaksikan China, rakan negara bagi projek itu, komited untuk membeli lebih banyak minyak sawit dan melabur dalam lebih banyak projek di Malaysia.

Menyentuh perkara itu, Jal berkata terdapat begitu banyak nilai dan setiakawan yang perlu dilindungi oleh Beijing and Putrajaya.

Kedua-dua kerajaan sememangnya berniat untuk menjalankan urus niaga yang adil dan dihormati. Dan menjalankannya dengan cara yang betul. Sejarah akan menghakimi kedua-dua negara menerusi faedah dan kebajikan yang dibawa projek itu kepada rakyat masing-masing, tegasnya.

“Bukan menerusi kontrak berat sebelah yang satu pihak mengambil kesempatan ke atas pihak yang satu lagi. Kelebihan politik dalam melakukan perkara yang betul untuk sebab yang betul pastinya terbukti jelas dan nyata.

“Dan kerajaan China akan bergantung kepada komitmen Malaysia untuk menghukum mereka yang berbuat salah dan memburu mereka yang bersalah dan memastikan tiada pihak yang terlepas. Kerajaan yang sedang mentadbir jelas sudah melakukan ini dengan beberapa pertuduhan dan prosiding sedang berjalan di mahkamah, terhadap anggota kerajaan terdahulu,” katanya.

Dalam temu bual dengan New Straits Times baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan berjaya mengurangkan rasuah di negara ini sehingga sebanyak 90 peratus sejak mengambil alih Putrajaya tahun lepas.

Walaupun kes rasuah berjaya dikurangkan, kerajaan, menurut beliau masih mengesan “hampir tiada kesudahannya” amalan meragukan dalam pentadbiran terdahulu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS