Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan sedia memberi bantuan sebanyak RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat bagi memulihkan kembali Felda.
Beliau berkata, bantuan itu adalah bertujuan untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan bagi memperkasakan kembali institusi berkenaan.
"Sehubungan dengan ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamd) yang telah mengambil peduli tentang masalah peneroka Felda dan masa depan Felda.
"Felda memerlukan sistem kewangan yang baru dan lestari. Kedudukan kewangan semasa Felda perlu distruktur semula dengan kadar segera melalui penstrukturan semula pinjaman dengan institusi kewangan dan rasionalisasi aset.
"Kegagalan menstrukturkan semula pinjaman FELDA akan mendedahkan FELDA kepada pembayaran pinjaman dan kadar faedah berjumlah RM2.5 bilion untuk tahun 2019," katanya ketika membentangkan kertas putih ke aran pelastarian Felda di Parlimen, hari ini.
Antara penyusun semula yang dilakukan terhadap Felda ialah, melantik kepimpinan baru Felda yang terdiri daripada golongan profesional, berwibawa dan berintegriti.
Azmin berkata, Felda bertekad untuk melahirkan peneroka baru yang mahir dan inovatif bagi meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pertanian dan ternakan menggunakan teknologi baru seperti ‘smart farming’ dan ‘precision agriculture’.
Bagi melaksanakan program itu sebanyak RM1 bilion diperuntukkan kerajaan untuk tempoh empat tahun.
Selain itu katanya, bagi tahun 2019, kerajaan telah meluluskan sejumlah RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil.
"Merasai denyutan nadi peneroka, kerajaan bersetuju untuk menghapuskan kadar faedah di atas Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil yang dibebankan kepada peneroka. Bantuan kerajaan ini dianggarkan berjumlah RM2 bilion.
"Kerajaan juga amat prihatin terhadap masalah perumahan generasi kedua Felda (Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai sekian lama tanpa pembelaan daripada kerajaan lama.
"Sebagai sebuah kerajaan yang peduli generasi baru Felda, Kerajaan Pakatan Harapan (PH)bertekad untuk menyiapkan 4,794 unit rumah yang tahap kemajuannya 70 peratus dan ke atas. Untuk tujuan ini, kerajaan meluluskan sebanyak RM250 juta bagi tahun 2019," katanya.
Berita berkaitan:
FGV, FIC punca utama masalah Felda