Selepas dengan kecewa mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) - tidak sampai sebulan selepas menandatanganinya - Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa ada komplot untuk melaga-lagakan Raja-raja Melayu dengan kerajaan.
Beliau juga merungut tentang seorang individu yang menimbulkan kekeliruan berkenaan perkara itu kerana mahu "bebas memukul orang dan perkara seumpamanya".
"Dan jika dia pukul orang lagi, saya akan hantar polis untuk menangkapnya. Saya tak peduli dia siapa," katanya lagi.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, spekulasi menyatakan Mahathir merujuk kepada Istana Johor. Hubungannya dengan kerabat diraja itu tegang sejak kali pertama beliau menjadi perdana menteri - ketika era Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, bapa kepada sultan sekarang, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baca: 'Sebab ada orang nak memukul sesuka hati' - Transkrip penuh Dr M
Sultan Iskandar juga Yang di-Pertuan Agong kelapan sejak 1984 hingga 1989, ketika Mahathir mengetuai pentadbiran negara.
Menyifatkan Mahathir sebagai "perdana menteri yang benar-benar moden", akhbar UK The Independent dalam artikel 31 Januari 1993 berkata serangan terhadap kuasa raja merupakan tema pentadbirannya sejak mula menggantikan Hussein Onn pada 1981.
Langkah pertama Mahathir terhadap Raja-raja Melayu dibuat dua tahun selepas menjadi perdana menteri.
"Pada 1983, dia memansuhkan hak raja (YDPA) untuk menghalang penggubalan undang-undang, dan tahun lalu (1992) mendesak Raja-raja untuk menandatangani larangan terlibat dalam politik dan kebanyakan kegiatan komersial. Sultan Mahmood (Sultan Iskandar) antara tiga raja yang enggan menerima larangan itu," kata laporan itu.
Jurulatih hoki
Artikel The Independent melaporkan pergelutan kuasa antara Mahathir dan Raja-raja, yang turut melibatkan dakwaan insiden pukul pada 1992.
Menceritakan peristiwa itu secara dramatik, akhbar itu berkata: "Douglas Gomez, jurulatih hoki di Malaysia, mungkin tahu apa yang akan dihadapinya ketika dipanggil ke istana oleh Sultan Johor, (Sultan) Iskandar (Sultan) Ismail. Raja berusia 60 tahun itu, yang memiliki pesawat Lear, lapan istana dan 200 askar peribadi, dikenali dengan sikap panas baran...
"Ketika Gomez bertemu Sultan, fikirannya pastinya kembali ke Sukan Malaysia edisi tahun lalu, ketika pusingan akhir antara Johor dan Perak. Pasukan Johor diketuai anak lelaki Sultan, Tunku Abdul Majid Idris. Perak menang...
"Wartawan menunggu jurulatih hoki itu yang keluar sejam kemudian. Walaupun Gomez jelas tampak lebam dan bergetar, dia enggan berkata apa-apa: selain kekebalan daripada pendakwaan yang dinikmati Raja-raja di Malaysia, sebarang kritikan terhadap mereka boleh dianggap sebagai hasutan."
Insiden itu tercetus daripada dakwaan Tunku Abdul Majid yang memukul penjaga gol Perak sehingga tidak sedar. Tunku Abdul Majid didakwa tetapi pertuduhan digugurkan. Baginda setuju untuk membayar pampasan RM1,000 kepada penjaga gol itu.
Persekutuan Hoki Malaysia mengenakan larangan enam bulan kepada Tunku Abdul Majid, satu tindakan yang mencetuskan kemarahan istana, yang kemudian dikatakan mengarahkan pasukan Johor menarik diri daripada kejohanan.
Gomez merungut tentang perkara itu dan sebab itulah dia dipanggil ke istana.
Walaupun pada mulanya mengambil langkah menutup mulut tentang perkara itu, Gomez bagaimanapun mengambil langkah mengejutkan dengan membuat laporan polis.
Artikel The Independent itu berkata Gomez memberitahu polis bahawa "selepas dijelaskan oleh kakitangan istana berkenaan penghormatan kepada sultan, dia dibawa bertemu sultan. Dia dibawa oleh sekumpulan lelaki yang berseluar jeans, yang kemudiannya bersama-sama sultan memukulnya."
Mahkamah khas
Mahathir menggunakan insiden Gomez untuk sekali lagi mengenakan kod etika serta memansuhkan kekebalan raja daripada pendakwaan.
"Raja-raja menolak usul itu tetapi Parlimen tetap mengundi untuk meminda Perlembagaan, dan krisis pun muncul apabila ia memerlukan tanda tangan YDPA.
"Sementara itu, kerajaan 'mengisytiharkan perang terhadap Raja-raja. Penjawat awam diarah mendapatkan kebenaran perdana menteri sebelum berjumpa raja, kerajaan negeri diarahkan untuk tidak memberi kelebihan dalam soal kontrak kepada raja mereka.
"Untuk bulan lalu, halaman dua New Straits Times yang dikawal kerajaan menumpukan soal kemewahan raja-raja: Bagaimana Sultan Ismail Petra dari Kelantan, misalnya, mengimport 30 kereta mewah bebas cukai berbanding had yang dibenarkan iaitu tujuh buah, dan bagaimana beliau terlepas daripada pegawai kastam dengan menaiki Lamborghini Diablo atas preteks sedang membuat uji pandu.
"Kos penyelenggaraan raja-raja sebanyak RM200 juta diperincikan, termasuk wad hospital yang dikhaskan buat mereka, dan RM9.3 juta yang digunakan untuk sudu-garpu (cutlery) dan tilam raja, yang menurut akhbar itu boleh digunakan untuk membina dua hospital atau 46 klinik desa atau 46 sekolah rendah.
"Golongan agamawan digalakkan untuk mengulas kelakuan tidak islamik kepada golongan yang digelar penjaga agama," kata The Independent.
Pindaan perlembagaan akhirnya dilaksana pada Mac 1993 dan Raja-raja Melayu yang melanggar undang-undang boleh didakwa di Mahkamah Khas Raja-raja.
Mata lebam
Pada 23 Mac 2016, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim - yang bertelingkah dengan Dr Mahathir Mohamad berkenaan Statut Rom - mengimbas kembali insiden ketika krisis perlembagaan itu. Ketika itu Tunku Ismail berusia lapan tahun.
Baca: TMJ imbas sejarah hitam 1992 di bawah Dr Mahathir
Tunku Ismail mengingatkan kerajaan agar tidak mengulang episod atas "desakan tamak haloba dan sikap gila kuasa".
“Saya tidak akan lupa krisis perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992. Saya masih ingat bagaimana keluarga saya telah dilayan oleh pegawai-pegawai kerajaan persekutuan.
“Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, ahli Exco Johor diberitahu untuk tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR telah diberitahu untuk tidak membaikpulih dan memulihara segala apa-apa yang ada di Istana-istana Johor.
“Malah bonda saya juga ditahan oleh kastam Malaysia sewaktu kembali ke Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Keesokannya anak Gomez, Brian, memberi respons di Facebook. Beliau berkata turut ingat insiden yang berlaku.
"Saya masih ingat, dalam habuk pergolakan dua gergasi, rakyat biasa yang tampil, bangkit, mencerahkan jalan," katanya.
Brian juga mengimbas kembali bagaimana bapanya pulang ke rumah dengan mata lebam selepas ke istana.
“Saya masih ingat bagaimana ayah saya, seorang guru dan jurulatih pasukan hoki sekolah, dibawa ke istana. Saya masih ingat matanya yang lebam setelah pulang ke rumah. Saya masih ingat ceritanya tentang apa yang berlaku di istana; dan milik siapa tangan yang menyebabkan lebam itu,” katanya.
Dalam pertembungan terbarunya dengan Raja-raja Melayu, Mahathir terpaksa membatalkan rancangan membawa negara menyertai Statut Rom - isu yang dekat di hatinya.
Untuk rekod, ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa melibatkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.
Mahathir memang dikenali sering bersuara terhadap jenayah perang ketika di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Namun ini barangkali bukan penamat pertembungan ini. Perdana menteri berusia 93 tahun itu mungkin akan membuat responsnya.