Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sebab laluan ECRL kini boleh rentas N Sembilan
Diterbitkan:  Apr 9, 2019 5:15 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Pengumuman mengenai pengubahan jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mungkin memasuki Negeri Sembilan mengundang kritikan dan pandangan skeptikal bahawa ia hanya dibuat kerana PRK Rantau.

Bagaimanapun perubahan itu tampak realistik dengan mengambil kira jajaran baru itu dapat mengurangkan kos seperti hasrat kerajaan.

Menurut jajaran asal dari timur, ECRL akan melalui Mentakab dan kemudian menuju barat laut ke Bentong, sebelum menghala ke barat daya ke Klang Gates Quartz Ridge - dengan laluan mencabar - dan Gombak di Selangor.

Ia memerlukan pembinaan terowong sepanjang 17.8km dari Bentong ke Gombak yang akan memakan belanja tinggi.

Ia juga boleh menjejaskan usaha Selangor untuk menyenaraikan Quartz Ridge sebagai tapak warisan Unesco.

Sebagai alternatif, ECRL boleh melalui bahagian tepi Quartz Ridge ke selatan yang akan membawa jajaran ke sempadan utara Negeri Sembilan sebelum ke Selangor.

Kemungkinan ini turut diperkukuhkan lagi dengan laporan akhbar Sin Chew Daily hari ini yang memetik sumber dalaman pasukan rundingan ECRL.

Menurut laporan itu, sumber itu berkata rundingan semula jajaran ECRL tidak akan melalui Bentong, dan Mentakab akan menjadi stesen terakhir di Pahang.

Ini bermakna dari Mentakab, jajaran tidak akan ke arah barat laut untuk ke Bentong, sebaliknya menghala barat daya memasuki Negeri Sembilan sebelum ke Selangor tanpa melalui Klang Gates Quartz Ridge.

Mengikut terma yang dirunding semula itu, kerajaan dijangka dapat mengurangkan kos ECRL dari RM66.8 bilion ke antara RM39 bilion-RM46 bilion.

Selain mengelak pembinaan terowong melalui Quartz Ridge yang berkos tinggi, langkah lain yang diambil untuk mengurangkan kos termasuk membina satu landasan - berbanding dua landasan - serta mengakhiri landasan di Kota Bharu (bermakna stesen di Pengkalan Kubor dan Wakaf Baru tidak akan dibina).

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka akan ke Beijing akhir bulan ini untuk memuktamadkan rundingan semula ECRL.

Beliau juga dijangka untuk berbincang soal pembelian minyak sawit Malaysia oleh China, tetapi - berbeza dengan laporan sebelum ini - isu itu tidak termasuk dalam rundingan ECRL.

Dalam rundingan awal, projek itu merangkumi laluan keretapi bernilai RM46 bilion dari Wakaf Baru di Kelantan ke Gombak (fasa 1) dan satu lagi laluan bernilai RM9 bilion dari Gombak ke Pelabuhan Klang (fasa 2).

Ia juga mempunyai sambungan laluan dari Wakaf Baru ke Pengkalan Kubor dengan kos RM1.28 bilion, dan penambahbaikan kepada dua landasan bernilai RM10.5 bilion. Secara keseluruhan ia menelan belanja RM66.8 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS