Sekumpulan siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Kuala Lumpur hari ini berhimpun di pusat pengajian itu bagi menyatakan bantahan terhadap yuran semester yang dinaikkan sejak 2015.
Mereka berkata yuran semester di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) UTM naik dari RM945 kepada RM5,000 sejak empat tahun lepas.
Presiden MJIIT Voices Tan Cheng Siong, 22, berkata petisyen dan memorandum telah diberikan kepada pihak universiti sejak setahun setengah lalu namun masih tiada tindakan.
“Mereka tidak memberi jawapan dan saling lepas tangan. Jadi kami membuat keputusan untuk melakukan himpunan ini.
“Kami juga sudah menghantar petisyen ke Kementerian Pendidikan namun masih tiada jawapan dari mereka,” katanya.
Sementara itu, suasana dilaporkan sedikit tegang pada awalnya ketika pihak polis dilihat bergelut dengan aktivis mahasiswa yang turut hadir pada himpunan tersebut.
Shahran Raj, 26, aktivis mahasiswa dari Gabungan Kebebasan Akademik menjelaskan bahawa beliau hampir ditangkap kerana didakwa cuba untuk melakukan kekecohan.
“Ia bermula apabila saya cuba meminta lebih masa dari pihak polis untuk memulakan himpunan, tetapi pihak polis mula menengking dan mengasari saya.
“Ada (pihak polis) mula memegang tali pinggang dan kaki ketika hendak mengangkat saya dan membawa ke balai.
“Namun pelajar UTM turut sama menarik saya kembali dan bergelut bersama pihak polis untuk melepaskan saya sehingga pihak polis menyerah,” katanya.
Pelajar universiti lain di Lembah Klang turut hadir memberikan sokongan.
Sementara itu, seorang jurucakap UTM memberitahu Malaysiakini bahawa memorandum pelajar itu akan disampaikan kepada naib canselor di kampus induk di Johor Bharu.
“UTM akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu kemudian,” katanya.