Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selesaikan isu 4 ahli akademik cara baik, kata Anwar

Presiden PKR, Anwar Ibrahim mahu isu empat ahli akademik yang didakwa mengemukakan laporan berat sebelah untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dibincangkan dengan baik.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata, penjelasan ahli akedemik berkenaan haruslah dibuat dalam wacana yang sihat.

"Tak apalah biar dia (mereka) selesaikan, dibincang dengan baik.

"Ia (mereka) ahli akedemik ada wacana yang sihat, soal jawab, penjelasan.

"Tak apalah, biar orang akademik kita jawab," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Kelmarin, sekumpulan aktivis pelajar mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat ahli akademik yang mereka dakwa digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak ICC.

"Hujah-hujah di dalam kertas tersebut sungguh berat sebelah apabila hujah hujah tersebut hanya membincangkan soal mengapa Majlis Raja-raja perlu menolak Statut Rom.

"Kami membuat pendedahan ini untuk menimbulkan satu wacana antara semua peringkat termasuk ahli akademik," kata mereka dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kertas kerja yang didedahkan, pembentangan itu dibuat oleh Profesor Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rahmat Mohamad, profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Shamrahayu Abdul Aziz dan pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, dilaporkan berkata kedudukan empat ahli akademik yang menjalankan kajian (ICC) akan dibincangkan.

Bagaimanapun kata Teo, buat masa ini kementerian belum membincangkan perkara tersebut.

Teo bagaimanapun malam tadi menjelaskan beliau tidak menyebut kedudukan empat ahli akademik itu akan dibincang.

“Semasa ditanya di parlimen, jawapan saya adalah tiada perbincangan di peringkat KPM setakat ini tentang perkara yang dibangkitkan oleh sembilan orang mahasiswa terhadap terhadap orang akademik.

“Saya minta masa supaya perkara yang dibangkit oleh mahasiawa boleh dikaji atau dibincang secara menyeluruh,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS