Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Felda dakwa ditipu dalam pembelian kepentingan Eagle High
Diterbitkan:  Apr 9, 2019 11:52 AM
Dikemaskini: 7:53 AM

Felda membuat laporan polis dengan mendakwa ia ditipu dalam pembelian 37 peratus kepentingan syarikat Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP) pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) oleh bekas perdana menteri yang juga menteri kewangan ketika itu, Najib Razak.

Ketua Pengarah Felda Othman Omar dalam laporan polisnya semalam berkata Najib mengarahkan agensi itu untuk membuat transaksi pada 2015 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB), lapor The Edge Markets.

Tawaran untuk membeli EHP yang dimiliki Peter Sondakh, individu yang dikatakan rakan Najib, diberikan kepada beberapa agensi, termasuk FGV Bhd, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, dan Lembaga Getah Malaysia.

Bagaimanapun, kata laporan itu, Felda akhirnya "dipaksa" untuk membeli syarikat itu.

Othman juga menyifatkan pembelian EHP sebagai bersifat "sepihak" dalam memberi manfaat kepada Rajawali Group (pemilik EHP), kerana terdapat banyak risiko dalam urusan itu, selain kerana EHP tidak memiliki akreditasi Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), mahupun dilihat akan memperolehnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Tambah Othman lagi, jumlah yang dibayar untuk memperoleh 37 peratus dalam EHP adalah 344 peratus lebih tinggi dari nilai sebenarnya iaitu AS$114 juta.

Bagi tujuan pembelian itu, Othman berkata Felda diberikan pinjaman RM8.4 bilion dari GovCo Holdings Bhd (GovCo), syarikat subsidiari di bawah Kementerian Kewangan ketika itu. Akibatnya, kata Othman, Felda terpaksa menanggung kerugian RM1.576 bilion setakat 31 Dis 2017.

Nilai pembelian itu ketika ini adalah RM555 bilion, kata Othman lagi.

Dia juga menyalahkan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad, penggantinya Shahrir Samad, selain bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani dan bekas timbalan menteri Razali Ibrahim yang menurut Othman turut memainkan peranan dalam perkara itu.

Laporan Othman itu turut menamakan tujuh individu yang menurutnya terlibat dalam jenayah konspirasi, pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, dalam transaksi Felda. Othman menggesa siasatan dijalankan.

Sebelum ini dilaporkan Felda berhasrat menamatkan perjanjian dengan Rajawali Group dan menuntut semula AS$500 juta.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamad Azmin Ali berkata kerajaan akan menyerahkan kepada pengurusan Felda berhubung perkara itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS