Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Streram soal Tok Mat: 'Rumah Minangkabau' itu milik siapa?

PRK RANTAU | Calon PH Dr S Streram hari ini meminta penjelasan Mohamad Hasan berhubung dakwaan calon BN itu memiliki rumah banglo di Seremban 2, Negeri Sembilan yang memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau.

Streram yang juga timbalan pengerusi PKR Cabang Rembau mengulas gambar rumah Minangkabau tersebut yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

"Saya bukan tuduh 'rumah Minangkabau' itu milik Tok Mat. Tapi, saya telah melihat video klip dan gambar rumah itu diviralkan dalam WhatsApp yang mendakwa rumah Tok Mat (Mohamad Hasan).

"Jadi, saya rasa adalah lebih baik sekiranya Tok Mat tampil memberi penjelasan dan membetulkan kedaan ekoran tercetus tuduhan mengenai rumah itu," katanya ketika ditanya oleh pemberita di Pekan Kuala Sawah, Rantau hari ini.

Isu rumah Mohamad menjadi perbincangan PRK Rantau selepas bekas menteri besar Negeri Sembilan itu menyatakan rasa sedih apabila terpaksa meninggalkan kediaman rasminya susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.

Lupa beli rumah di Seremban

Pada sidang media hari ini, Mohamad menjelaskan beliau tidak bermaksud untuk mengatakan tidak mampu membeli rumah.

"Saya kata saya tak ada tempat untuk dituju, bukannya tak ada duit.. Saya lupa beli rumah di Seremban," katanya.

Susulan kenyataan Mohamad itu, tular beberapa gambar dan video di media sosial mendakwa penyandang Adun Rantau itu memiliki banglo di Seremban 2.

Banglo tersebut yang dikatakan bernilai hampir RM6 juta itu terletak di Saujana Duta, Seremban 2.

Bagaimanapun, sumber penduduk tempatan memberitahu banglo tersebut bukan milik Mohamad sebaliknya dipunyai oleh ahli keluarganya.

Sementara itu, Streram turut mempersoalkan calon BN pesaingnya pada pilihan raya kecil ini kerana lupa membeli rumah di Seremban tetapi mampu memiliki rumah di London.

"Saya rasa adalah penting bagi Tok Mat menjelaskan dakwaan ini, kerana kata dia lupa membeli rumah di Seremban, tetapi dia mampu membeli apartmen di London.

"Jadi, sekarang dia perlu tampil membersihkan keadaan.

"Sebab dia kata dia jual rumah dia tidak ada wang dan sebagainya. Maka dia harus tampil menjelaskan perkara sebenar dan tentang video yang viral ketika ini," katanya yang turut meminta Mohamad menjelaskan tempat tinggalnya sekarang.

Dalam perkembangan lain, Streram mempersoalkan dakwaan Mohamad memindahkan wang tunai RM10 juta ke luar negara menggunakan khidmat pengurup wang.

"Dia mengakui bahawa memindahkan wang RM10 juta menerusi pengurup wang untuk membelikan apartmen di London.

"Kenapa dia tidak menggunakan kaedah pemindahan wang melalui bank?

"Bolehkah, dia membuktikan bagaimana dia mampu memindah wang sebesar tersebut melalui pengurup wang. Apa sumber pendapatannya?" Soal Streram yang berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka semula kes itu.

Mohamad pada 7 April lalu berkata tiada sebarang salah laku apabila beliau memindahkan RM10 juta ke London pada 2008 melalui pengurup wang.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata terserah Yang Dipertua DUN Zulkefly Mohamad Omar untuk melaporkan hal berkenaan sekali lagi kepada SPRM.

"SPRM sudah buat siasatan. Terpulang kepada pihak berkuasa. Saya telah didapati tidak bersalah.

"Tiada penyalahgunaan kuasa atau saya buat sesuatu yang tidak baik.

"Saya beli apartment di London (dengan wang itu)," kata Mohamad.

Pejabat Peguam Negara era pentadbiran BN tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Mohamad, sebaliknya bertindak terhadap pengurup wang berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS