PARLIMEN l Mana-mana individu yang berniat untuk mengelak atau membantu orang lain untuk mengelak levi pelepasan yang dikenakan ke atas setiap penumpang udara ke luar negara bakal dikenakan denda RM1 juta kelak, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Denda itu antara yang terkandung dalam Perkara 38 Pengelakan Levi Pelepasan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan (2019) yang dibentangkan buat kali pertama oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Amiruddin berkata bacaan kali kedua untuk RUU itu akan dibaca pada mesyuarat kali ini juga.
Menurut buku akta itu yang diedarkan kepada media hari ini, hukuman itu dikenakan kepada mana-mana individu yang berniat untuk mengelak atau membantu orang lain mengelak levi pelepasan termasuk membuat pernyataan, catatan, jawapan palsu dan segala penggunaan penipuan , tipu daya atau helah.
“Jika disabitkan bersalah, individu itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” menurut buku akta itu.
Pada Bajet 2019 Kerajaan telah mencadangkan pengenaan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara bermula 1 Jun 2019, iaitu RM20 bagi penumpang ke negara-negara ASEAN dan RM40 bagi penumpang ke negara-negara lain. Cadangan itu bagi menggalakkan pembangunan pelancongan domestik.
Buku itu menjelaskan, Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan (2019) ini diwujudkan untuk mengadakan peruntukan bagi pengenaan levi pelepasan ke atas orang yang meninggalkan Malaysia dan bagi perkara yang berkaitan dengannya.
Manakala bagi Perkara 37 (Penyata Tidak Betul dan Yang Terkurang Dibayar) akta yang sama ini, ia akan menghukum mana-mana pesalah yang memberikan maklumat tidak betul sehingga memberi kesan ke atas tanggungannya untuk mengenakan levi pelepasan.
Apabila disabitkan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Di bawah akta yang sama melalui Perkara 36 (Halangan) pula, hukuman juga akan dikenakan kepada mana-mana individu yang menghalang pegawai kastam bertugas termasuk mencabul atau mengancam nyawa mereka.
Ia juga akan menghukum mana-mana individu yang tidak memberi kemudahan atau bantuan yang munasabah kepada pegawai kastam dalam menjalankan tugasnya di mana mereka akan dipenjarakan selama tempoh tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya.
- Bernama