Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Razlan ketuai kumpulan desak pecat menteri, Thomas

Situasai di hadapan parlimen hari ini sedikit kecoh apabila sekumpulan aktivis dihalang memasuki bangunan berkenaan untuk menyerahkan memorandum bantahan Statut Rome dan menggesa Penguam Negara Tommy Thomas dipecat.

Dengan membawa sepanduk "Pecat Tommy Thomas" kerana dianggap menghina raja-raja Melayu, kumpulan berkenaan - yang dianggarkan seramai kira-kira 30 orang - berarak dari Tugu Negara ke parlimen.

Mereka diketuai bekas ketua Pemuda Umno Wilayah, Mohd Razlan Rafii dan bercadang menyerahkan memorandum berkenaan kepada Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Bagaimanapun kumpulan terbabit dihalang pihak berkuasa daripada memasuki parlimen dan ia menimbulkan rasa tidak puas hati.

"Kami bukan pengganas... kami ni pengganas ke? Kami hanya mahu ke depan untuk serah memorandum.

"Tuan, kami hanya hendak hantar memorandum, inilah kami punya warna (pendekatan) tak perlu takut," kata Razlan ketika dihalang pihak keselamatan untuk memasuki Parlimen.

Namun, selepas perbincangan diadakan lapan orang wakil kumpulan terbabit dibenarkan untuk masuk ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Memorandum berkenaan antara lain meminta agar setiap konvensyen antarabangsa yang ingin ditandatangan kerajaan perlulah dibawa kepada pengetahuan umum dan dibahaskan di parlimen.

Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia, katanya, sudah hilang kepercayaan terhadap Saifuddin dan peguam negara yang dianggap tidak menjaga kepentingan perlembagaan negara.

Sementara itu Razlan berkata, pihaknya mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melucutkan jawatan Saifuddin sebagai menteri luar.

Selain itu katanya mereka juga meminta perdana menteri menasihatkan Majlis Raja-Raja melucutkan jawatan Thomas selaku peguam negara.

Kerajaan pada 6 April memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi raja menentang kerajaan.

Menurut Mahathir keputusan itu dibuat kerana ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku Perdana Menteri.

Katanya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS