Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Menjelang beberapa hari sebelum pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memilih wakil rakyat mereka, kempen bagi calon-calon dan parti bertanding semakin rancak.

Rantau, Negeri Sembilan, yang tidak jauh daripada bandar peranginan Port Dickson kini menjadi pentas kepada pemimpin politik baik pihak kerajaan mahupun pembangkang membicarakan isu negara bagi memenangi hati rakyat.

Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon PKR Dr S Streram turun dengan misi yang besar untuk menyekat Umno, BN daripada terus melakukan "hatrik" dengan mencipta kemenangan ketiga dalam pilihan raya kecil (PRK) selepas Cameron Highlands dan Semenyih.

Bagi BN pula, ia membawa misi penting untuk memastikan DUN Rantau terus menjadi kubu kuat Umno, BN, kerana ia sudah tiga penggal dimenangi Mohamad Hasan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Lebih besar lagi, kemenangan Mohamad di DUN berkenaan cukup penting bagi mengekalkan momentum kemenangan BN, selain kemenangan moral buat Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden itu.

Di atas kertas personaliti Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Mat Hasan itu cukup kuat dan tampak sukar digugat calon PH, Dr S Streram.

PKR pula pastinya mengharapkan kemenangan dapat diraih meskipun sedar berdepan laluan sukar.

Bagi calon bakal Perdana Menteri ke lapan, Anwar Ibrahim, kemenangan PH di Rantau akan menjadi kemenangan moral yang besar selain membuktikan pengaruhnya cukup kuat dan bersedia untuk menerajui negara.

Jadi, disebabkan itulah, Anwar dilihat "berkampung" di Rantau bagi menumbangkan Mat Hasan di "gelanggang sendiri".

Maka, dapat dilihat pelbagai "serangan" dilancarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu ketika berkempen di Rantau bagi membunuh karakter Mohamad yang dikenali sebagai pemimpin yang "humble" dan mesra rakyat.

Bertalu-talu serangan dilontarkan Anwar terhadap Mohamad sehinggalah kepada pencapaian Timbalan Presiden Umno itu selama tiga penggal menerajui Negeri Sembilan.

Oghang Nogori lebih kenal Mat Hasan

Meskipun cuba memperkecilkan pencapaian Mat Hasan, namun "oghang nogori" lebih mengenali dan mampu menilai sejauh mana pencapaian bekas Menteri Besar itu sama ada mampu untuk dibanggakan atau sebaliknya.

Tetapi, apa yang menarik, ketika Anwar dikritik dengan penularan video beliau sedang rancak menari ketika berkempen, anggota Parlimen Port Dickson itu sempat meramalkan yang Mat Hasan tidak mungkin akan menjadi Presiden Umno bagi menggantikan Dr Ahmad Zahid Hamidi pada kempen PRK DUN Rantau.

Strategi Anwar itu dilihat sebagai cubaan untuk membunuh semangat Mat Hasan dan juga pengundi di DUN Rantau yang sememangnya cukup mengagumi bekas menteri besar itu.

Bila Anwar bercakap soal ramalan, sebenarnya ia umpama menepuk air di dalam dulang yang akhirnya terpercik ke muka sendiri, ataupun boleh juga disimpulkan bahawa presiden PKR itu umpama bercakap di depan cermin.

Ketika Anwar meramalkan Mat Hasan tidak akan menjadi presiden Umno, sebenarnya telah banyak ramalan yang dibuat oleh orang politik dan rakyat Malaysia mengenai hasrat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kelapan.

Malah, Mat Hasan sendiri turut meramalkan yang Anwar tidak akan diangkat Mahathir sebagai perdana menteri ke lapan.

Anwar juga diramal tak jadi PM

Di luar sana, ramai rakyat Malaysia meramalkan yang Anwar tidak akan sesekali berjaya menjadi perdana menteri kelapan bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad selagi mana anggota Parlimen Langkawai itu masih ada, kecuali ada "keajaiban: yang berlaku.

Mengenali Mahathir yang disifatkan sebagai bekas diktaktor oleh Nurul Izzah yang juga anak Anwar, maka adalah sesuatu yang mustahil dan sukar untuk Anwar menggantikan bekas perdana menteri ke empat selama 22 tahun itu.

Meskipun Mahathir sering melafazkan hasrat untuk menyerahkan tampuk kuasa pada Anwar, namun dalam politik apa saja boleh berlaku dan ia belum lagi satu kepastian.

Ramalan itu pastinya akan menjadi perhatian rakyat Malaysia untuk melihat "mulut siapa yang masin" dan ramalan siapa yang benar-benar menjadi kenyataan.

Sama-samalah kita tunggu jawapannya, sama ada Mat Hasan tidak akan menjadi presiden Umno ataupun Anwar akan kekal sebagai bakal perdana menteri paling lama dalam sejarah negara, hanya masa yang akan menentukannya.


HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS