Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Anwar pemimpin lebih baik berbanding Najib
Diterbitkan:  Apr 7, 2019 1:40 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Dalam wawancara bersama New Straits Times yang terbit hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ditanya tentang kerjasama dengan bekas seterunya Anwar Ibrahim yang pernah disifatkannya sebagai 'tidak layak menjadi pemimpin'.

Menurut Mahathir, beliau memutuskan untuk bekerjasama dengan Anwar kerana bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak boleh lagi dibiarkan memimpin negara.

"Itu dahulu (kenyataannya terhadap Anwar). Benar, saya ada mengatakannya. Tetapi antara Najib dan Anwar, saya fikir Najib pemimpin lebih teruk berbanding Anwar. Najib seburuk-buruk pemimpin.

"... Jadi saya putuskan untuk kerjasama dengan Anwar, (walaupun) apa saja yang saya kata tentangnya sebelum ini, apa saja yang dia kata kepada saya sebelum ini," katanya seperti dipetik.

Berbanding terus berbalah, katanya lagi, jauh lebih penting untuknya bekerjasama dengan Anwar demi menjatuhkan Najib yang akan memberi kesan buruk jika terus menjadi pemimpin Malaysia.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menyifatkan Anwar sebagai "memiliki kualiti kepimpinan" dan mampu mengetuai PH.

Kata Mahathir, Anwar telah membuktikannya dengan menyatukan parti pembangkang di bawah Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Anwar memimpin 'sebahagian besar' dalam PH. Malah, beliau adalah arkitek Pakatan Rakyat (PR). PR gagal kerana mereka tidak begitu kohesif, tetapi selepas kami bekerjasama, kami dapat bekerja dengan lebih rapat.

"Hakikatnya beliau dari Umno dan Umno, tentunya, tidak begitu disukai pembangkang. Beliau keluar Umno dan berjaya membawa DAP, malah PAS, dan partinya bersama-sama, jadi beliau ada kualiti kepimpinan."

Untuk rekod, kerjasama antara DAP, PAS dan PKR mencatat sejarah pada PRU 2008 apabila pertama kali berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN. Pakatan Rakyat ditubuhkan secara rasmi selepas itu.

Mengenai Najib yang dihadapkan 42 tuduhan jenayah di mahkamah, Mahathir berkata bekas perdana menteri itu menggunakan pelbagai taktik untuk melengahkan perbicaraan kesnya kerana beliau tahu dirinya bersalah.

"Jika pendengaran ditunda, maka beliau tidak boleh digambarkan sebagai bersalah sehingga mahkamah mengatakan dia bersalah.

"Pada masa sama, sudah tentu, dia sedang memancing untuk mendapat sokongan, mengatakan 'Tidak, saya tak bersalah'. Orang ramai boleh mengatakan dia tidak bersalah.

"Tetapi sehingga mahkamah mengatakan dia bersalah atau tidak, maka dia (kekal) bersalah. Di bawah undang-undang Perancis, kamu bersalah sebelum kamu terbukti tidak bersalah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS