Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan tuduh Raja-raja dipengaruhi, kata Annuar
Diterbitkan:  Apr 6, 2019 6:28 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata Raja-raja Melayu tidak harus dipersalahkan dalam keputusan kerajaan menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

"Janganlah menuduh raja-raja cuba dipengaruhi.

"Perlu diingat raja-raja bukanlah individu tanpa kelayakan. Ada kalangan raja-raja berkelulusan PhD. Raja-Raja Melayu juga mempunyai penasihat dari kalangan pakar-pakar," kata Annuar dalam kenyataannya hari ini.

Malah tambah beliau, Raja-raja Melayu juga telah mengambil langkah penuh cermat dan bebas politik dalam usaha memahami isu penting ini selain membuat keputusan bersama.

"Raja-raja juga secara berhemah menyerahkan kepada Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong menyampaikan pendirian baginda. 

"Maka kerajaan harus menghormati tindakan itu dan tidak harus cuba dipolitikkan," kata Annuar.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir mengumumkan Malaysia menarik diri daripada statut berkenaan berikutan kekeliruan yang timbul. 

Menegaskan keputusan itu bukan disebabkan statut itu membahayakan negara, Mahathir berkata terdapat usaha agar kerabat diraja menentang kerajaan dalam isu berkenaan.

"Memanglah, sesetengah anggota kerabat diraja mungkin terlibat. Tetapi keseluruhan rancangan ini adalah supaya kerabat diraja di Malaysia menentang kerajaan sekarang.

“Itulah motifnya. Tetapi disebabkan kekeliruan ini dan kekeliruan dalam kalangan Raja-raja, kami membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf statut berkenaan," kata Mahathir.


Baca: Sebab ada orang nak memukul sesuka hati - Transkrip penuh Dr M


'Cara kerajaan salah'

Sambil mengalu-alukan penarikan tersebut, Annuar berkata tidak timbul isu penarikan itu disebabkan tekanan politik.

Katanya, dua bekas peguam negara sebelum Tommy Thomas juga telah menasihatkan kerajaan sebelum ini agar tidak perlu menyertai treati ini kerana terdapat beberapa reservasi yang kuat.

"Perlu juga diketahui, kuasa besar dan anggota tetap PBB seperti Amerika Syarika, Rusia dan China tidak menandatanganinya. Di kalangan negara-negara Asean, hanya Kemboja menyertainya.

"Hanya 122 daripada lebih 190 negara anggota PBB menandatanganinya.

Katanya, pihak terbabit terutamanya parlimen dan Majlis Raja-Raja dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mesti dirujuk terlebih dahulu tetapi perkara itu tidak dilakukan.

"Justeru, kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya terlebih dahulu bincang secara mendalam sebelum menandatanganinya.

"Kekecewaan Perdana Menteri dan kerajaan PH terpaksa membatalkan apa yang telah mereka putuskan adalah difahami tetapi kerajaan tidak seharusnya memberi alasan dengan cuba menuduh pihak yang lain.

"Isunya bukan sekadar baik buruk Statut Rom pada negara tetapi cara dan proses yang dilakukan oleh kerajaan adalah salah," tegas Annuar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS