Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP perlu selesai 3 tuntutan atau berdepan saman - Peguam

Sekiranya tiga tuntutan remedi mengenai kes kehilangan paksa pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat tidak dipenuhi dalam masa sebulan, maka tindakan undang-undang akan dibuat untuk menyaman Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Tuntutan berkenaan yang turut ditujukan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dimaklumkan sekumpulan peguam dan individu yang menamakan diri mereka Rakyat Bantah Penghilangan Paksa (Caged).

Menurut peguam Andy Yong, mereka menuntut supaya tiga pihak itu menunaikan tuntutan remedi undang-undang yang turut dicadangkan oleh pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ia menuntut penubuhan pasukan khas bagi menyiasat kes itu, menyediakan maklumat asal kepada keluarga mangsa (first hand information) dan jangkaan kerugian yang ditanggung keluarga (possible monetary damages).

"Sebelum ini kita tahu yang Cawangan Khas mampu menyelesaikan kes seperti aktiviti pengganas, jenayah dan kita tak nampak kenapa tidak (dapat selesaikan) kes seperti ini (Koh dan Amri). Dan apa yang jadi adalah satu perkara yang salah dan mencurigakan.

"Oleh itu, peguam dan Caged akan memberikan notis sebulan kepada kerajaan Malaysia, KDN dan ketua polis negara untuk mengambil tindakan wajar secepat mungkin atas tuntutan kami itu," katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Katanya, saman itu akan difailkan atas nama lapan orang peguam individu dan Caged.

Yong berkata lagi tuntutan itu dilakukan susulan rumusan siasatan Suhakam pada 3 April lalu yang menyimpulkan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa membabitkan kedua-dua individu itu.

"Hasil daripada inkuiri Suhakam itu menunjukkan Cawangan Khas terlibat. Jadi kami percaya bahawa kerajaan bertanggungjawab ke atas kehilangan dua individu ini," katanya.

Yong turut menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang meminta Suhakam memberikan bukti yang menunjukkan polis Cawangan Khas terlibat dalam kehilangan tersebut selepas laporan itu diumumkan satu perkara yang tidak boleh diterima.

Kerajaan pada 5 April mengumumkan akan membuka siasatan baru susulan laporan Suhakam yang membuat kesimpulan bahawa Cawangan Khas Bukit Aman terlibat dalam kehilangan paksa terhadap Koh dan Amri.

“Kita akan tunggu sehingga pertukaran Ketua Polis Negara, dan seterusnya akan menubuhkan satu pasukan khas untuk mengkaji sekiranya bukti ‘dengar cakap’ yang digunakan oleh Suhakam untuk membuat kesimpulan itu benar-benar berasas,” kata Dr Mahathir.

Tubuh IPCMC

Jurucakap Caged Rama Ramanathan berkata bagi mengubah keadaan terdapat keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Apa yang kita lihat hari ni baru sikit saja. Berapa banyak lagi kes penculikan telah berlaku? Berapa banyak lagi penculikan yang akan terjadi?

"Bagaimana polis bertindak secara bebas tanpa hukuman? Tanpa IPCMC, keadaan tidak akan berubah," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan peguam yang mewakili kedua-dua isteri mangsa, Sheryl Stohard menjelaskan sidang media tersebut tidak mewakili keluarga mangsa.

Menurutnya isteri kedua-dua mangsa, Susanna Koh dan Norhayati Mohd Ariffin menghargai simpati orang ramai atas apa yang menimpa keluarganya.

Namun katanya Susanna dan Norhayati masih belum menyatakan sebarang tindakan susulan berhubung penemuan Suhakam itu.

"Kedua-dua mereka masih belum memutuskan sebarang keputusan mengenai langkah seterusnya untuk diambil, kecuali mengulangi sokongan mereka terhadap cadangan Suhakam kepada kerajaan seperti yang diumumkan pada 3 April 2019.

"Saya akan pastikan bahawa rakyat Malaysia sedia maklum berhubung sebarang pengumuman mengenai perkembangan selanjutnya," katanya. 

Suhakam mendakwa polis Cawangan Khas polis bertanggungjawab terhadap penculikan kedua individu itu dan menuntut kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bebas untuk meneliti kes kehilangan itu.

Pada masa kejadian tersebut berlaku, Fuzi mengetuai Cawangan Khas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS