Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP perlu digantung tugas serta-merta, kata NGO hak asasi
Diterbitkan:  Apr 6, 2019 8:34 AM
Dikemaskini: 12:34 AM

Ketua Polis Negara (IGP) Mohamad Fuzi Harun perlu digantung tugas serta-merta kerana tuduhan salah laku dalam pasukan polis mengenai kes kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat, gesa NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram). 

Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa satu siasatan baru akan dilancarkan berdasarkan penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan kedua-dua individu itu tetapi hanya akan dibuat selepas Fuzi bersara bulan depan.

Dalam satu kenyataan semalam, pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy tidak bersetuju dengan pengumuman perdana menteri dan keputusan membenarkan Fuzi kekal bertugas sebagai ketua polis negara sehingga beliau bersara.

"Dengan dakwaan yang sebegitu teruk terhadap pasukan polis, khususnya Cawangan Khas, maka orang yang menjaga Cawangan Khas pada masa itu, yang kini seorang ketua polis negara, tidak boleh terus berkhidmat dalam PDRM.

"Apa-apa penangguhan menggantung tugas IGP hanya akan menjadi penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang dan terus mencemarkan reputasi polis," katanya.

Menurut Doraisamy lagi polis telah "jelas gagal" dalam tugasnya untuk menyiasat kes kehilangan Koh dan Amri, serta dua lagi individu, pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth.

'Peluang yang cukup'

Doraisamy menjelaskan polis telah diberikan "peluang yang mencukupi untuk memberikan keterangan yang memadai" bagi membantah tuduhan dan bukti yang dikemukakan sepanjang siasatan itu dan tiada pihak yang boleh mengatakan dapatan siasatan berkenaan hanya sekadar khabar angin.

Kegagalan untuk mengenal pasti pelaku dan menyelesaikan kes kehilangan itu terletak di atas tanggungjawab Fuzi, katanya.

Doraisamy berkata Fuzi mesti bertanggungjawab untuk menghantar mesej yang jelas kepada semua penjawat awam bahawa mereka bertanggungjawab atas sebarang salah laku atau pengabaian tugas.

Pada hari Rabu, Suhakam mendedahkan penemuannya mengenai siasatan yang diadakan terhadap kes kehilangan paksa Koh dan Amri, masing-masing pada 2016 dan 2017.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia mendakwa polis Cawangan Khas polis bertanggungjawab terhadap penculikan kedua individu itu dan menuntut kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bebas untuk meneliti kes kehilangan itu.

Pada masa kejadian tersebut berlaku, Fuzi mengetuai Cawangan Khas.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS