Paling Popular
Terkini

PRK RANTAU | Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa PH menyerahkan semula kerajaan sekiranya tidak mampu mentadbir negara.

Menggelarkan PH sebagai "kerajaan kencing rakyat", anggota parlimen Pekan itu turut meminta pengundi Rantau supaya tidak mengulangi kesalahan majoriti pengundi pada PRU lalu.

"Hari ini saya minta pengundi Rantau pilih BN. Kenapa saya kata pilih BN? Selepas 11 bulan, rakyat hari ini menyedari bahawa PH sudah kencing, rakyat kena tipu dan bohong.

"Mereka asyik salahkan BN sahaja. Kalau dah bangang sangat, serahkan saja (pentadbiran negara) kepada BN. Jangan salahkan BN.

"Kamu diberi 11 bulan. Apa kamu buat?" soal Najib di majlis ceramah anjuran MIC di Bandar Ekar Rantau, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Presiden MIC M Saravanan, Presiden Makkal Sakthi RS Thanendran, Presiden Kimma Syed Ibrahim Kader dan calon BN Mohamad Hasan.

Berucap di depan lebih 500 hadirin yang kebanyakan penyokong BN, Najib berkata setiap hari rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita-berita sedih dan buruk.

"Harga telur, ikan kembung, tomato, KFC, McDonald - semua naik.

"Menteri kata telur turun dua sen. Tapi, saya periksa telur AAA sekarang 60 sen. Tak tahu telur yang mana turun harga," guraunya.

Dulu rakyat senang

Tambah Najib, beliau juga mendapati pendapatan peniaga di Rantau turun secara mendadak selepas PH mentadbir negara.

"Saya baca dalam blog dan tengok media sosial, peniaga pasar malam di Rantau memberi komen di Facebook bahawa semasa era BN (pendapatan mereka) RM800, sekarang dapat RM200 saja.

"Pelancong turun 15 peratus. Pelaburan Pulau Pinang turun 50 peratus, tapi, hutang negara terus meningkat.

"Pada masa saya, hutang negara RM686 bilion. Sekarang RM777.1 bilion termasuk bon Samurai," ujar beliau lagi.


Baca Perbicaraan Najib rumitkan BN di Rantau - KJ


Najib berkata beliau turut berasa pelik kerana hutang negara makin tambah walaupun kerajaan PH menjual aset-aset negara.

"IHH Healthcare Bhd dijual tanpa tender. IHH ini merupakan syarikat perkhidmatan kesihatan kedua terbesar di dunia, milik Khazanah Negara.

Tapi, sudah dijual. Di mana maruah Malaysia? Jual kepada orang lain buat apa?" katanya.

Sementara itu, Najib juga meminta pengundi menilai prestasi PH khususnya dalam konteks kadar agihan hibah 1.25 peratus yang diumumkan semalam.

"Hibah ini merupakan yang paling rendah dalam sejarah. Jangan salahkan BN.

"Agihan hibah ini dikurangkan kerana saham TH sudah turun. Inilah keadaan rakyat hari ini. Saya dituduh perompak dan pencuri tapi zaman saya rakyat sangat lebih tenang berbanding sekarang," katanya disambut tepukan gemuruh para hadirin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS