Paling Popular
Terkini

Pemangku Presiden Umno, Mohamad Hasan menyatakan kebimbangan bahawa Malaysia akan perlahan-lahan menjadi seperti negara-negara Arab yang terlibat dengan revolusi Arab atau Arab Spring.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga kini gagal menunaikan janjinya, menyebabkan keadaan ekonomi, hutang negara dan mata pencarian rakyat bertambah buruk.

"Ekonomi negara bertambah teruk, hutang negara bertambah banyak. Keadaan hidup orang bukan makin baik tapi makin susah.

"Macam samalah negara-negara Arab Spring dijanjikan dengan satu kebaikan yang cantik.

"Malaysia pun nampaknya ke arah begitu tapi kita tak mahulah Malaysia menjadi seteruk tu. Tetapi slowly but surely, if nothing is being done, our country is slowly moving towards that.

"Jadi ini satu perkara yang tak baik untuk negara kita," kata Mohamad kepada pemberita di Rantau hari ini.

Mohamad menyebut Iraq, Mesir dan Libya sebagai contoh negara-negara yang mengalami keadaan bertambah buruk.

Iraq bukan sebahagian daripada Arab Spring kerana rejim Saddam Hussein digulingkan oleh Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, ini menyebabkan ketidakstabilan politik di negara itu - termasuk kebangkitan kumpulan pengganas ISIS - yang meruntuhkan ekonomi.

Bank Dunia menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar Iraq hanya meningkat 0.6 peratus pada 2018.

Begitu juga, ekonomi Libya dan Mesir terjejas berikutan ketidakstabilan politik di negara-negara berkenaan selepas Arab Spring pada tahun 2011.

Bagaimanapun, ekonomi Mesir bertambah baik di bawah pimpinan rejim baru, yang melaksanakan program Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada tahun 2016.

Standard Chartered melaporkan Mesir dijangka menjadi ekonomi ke-7 terbesar dunia menjelang 2030.

Di peringkat domestik, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendakwa ia menanggung hutang dan liabiliti RM1 trilion yang ditinggalkan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kewangan negara berada dalam kedudukan yang lebih baik dengan hutang negara menurun akibat pertumbuhan KDNK.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS