Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebutan semula kes lelaki ugut pengerusi Sunway 7 Mei
Diterbitkan:  Apr 4, 2019 4:51 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes seorang pengarah syarikat yang didakwa melakukan pemerasan berjumlah RM5 juta terhadap Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah, Oktober tahun lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran menyerahkan dokumen berhubung kes tersebut kepada peguam Datin Hazizah Kassim yang mewakili tertuduh Cheah Chyuan Yong, 38, semasa sebutan semula kes itu hari ini.

Pada 27 Feb lalu, Chyuan Yong didakwa telah memeras ugut pengasas Yayasan Jeffrey Cheah tersebut iaitu menakutkan beliau dengan cara ingin menyebarkan satu surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perbuatan itu dilakukan dengan tujuan untuk mendorong Jeffrey menyerahkan sejumlah wang kepada seorang individu, Beh Chun Chuan dan menyelesaikan semua hutang tertuduh dengan Sunway Leasing Sdn Bhd berjumlah RM5 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di Petaling Jaya, pada 12 Okt 2018 mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan sebat atau dua daripada mana-mana seksaan itu, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS