Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa PH tak selesaikan kes 1MDB lepas 10 bulan?'

PRK RANTAU | Pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan mempersoalkan mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menyelesaikan skandal 1MDB yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak, selepas 10 bulan mengambil alih kerajaan.

"Semua ini ketika kamu mengatakan kamu telah menyiapkan tuduhan untuk Najib. (Jadi) apa yang begitu lama?

"Ini bermakna kamu mengatakan kertas pertuduhan semua telah disediakan. Itu temberang saja. Sekarang kes 1MDB pun mereka tak dapat nak selesaikan.

"Beria-ia kata sebelum PRU14 itu ini, but now you have 10 months already as government (Tapi sekarang kamu telah 10 bulan jadi kerajaan). 

"Kesian Najib, keluar masuk hari-hari, 40, 50 charges (pertuduhan)," kata Mohamad kepada pemberita di Rantau hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengatakan sama ada ia bermaksud keluar masuk mahkamah atau pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Calon BN Rantau itu menjelaskan laporan sebuah "portal berita", yang beliau dakwa salah memetiknya sebagai berkata bahawa beliau mahu Najib dipenjarakan.

Malaysiakini pagi ini menerbitkan artikel memetik kenyataan Mohamad yang mempersoalkan mengapa Najib tidak ditangkap atau didakwa sekiranya skandal 1MDB benar-benar bermasalah.

"Kalau betul 1MDB bermasalah, dakwalah Najib. Kamu kata dulu kertas pertuduhan dah siap, cuma belum tangkap. Sekarang kenapa tak tangkap?

"Bukan saya nak Najib ditangkap. Tetapi ini semua penipuan, semua fitnah dan penipuan semata," katanya dipetik Malaysiakini.

Beliau membuat kenyataan itu dalam ceramah di Felda Sendayan malam tadi.

Najib sebelum ini menghadapi 42 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Daripada jumlah itu, 25 adalah berkaitan dengan 1MDB, enam membabitkan penyelesaian 1MDB dengan Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC) dan satu berkaitan dakwaan pindaan laporan Jabatan Audit Negara berhubung 1MDB.

Najib juga telah ditahan beberapa kali oleh SPRM.

Semalam, perbicaraan Najib terhadap tujuh pertuduhan berkaitan SRC bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mohamad berkata ucapannya malam tadi hanyalah merupakan "satu kiasan".

Mengulas lanjut, Mohamad berkata tidak ada keperluan untuk mendakwa Najib dengan begitu banyak pertuduhan.

"Jika kamu ada kes yang benar-benar kuat, kamu hanya perlukan satu. So nak main drama ke apa tak tahulah," katanya.

Pemangku presiden Umno itu juga mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menahan ahli perniagaan yang kini menjadi buruan Jho Low.

"Jho Low merupakan individu utama, the main actor, John Wayne of the film. Kalau filem dia jadi John Wayne, actor utama. Kenapa tak tangkap, tangkaplah," katanya.

Low dipercayai merupakan individu utama skandal 1MDB. 

Sehingga kini lokasinya tidak dapat dikenal pasti, walaupun dia disyaki berulang-alik antara China, Hong Kong dan Macau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS