Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hasan tetap teruskan tugas presiden Umno jika tewas di Rantau

PRK RANTAU | Calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Rantau, Mohamad Hasan percaya karier politiknya tidak akan berakhir meskipun jika beliau tewas pada PRK berkenaan.

"Andai kata saya tak berjaya dalam PRK ni, tak adalah impak sampai boleh bunuh karier politik saya dalam Umno.

"Karier saya sebagai pemangku presiden dan timbalan presiden akan saya teruskan. Menang kalah tu biasa, tapi tugas sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk memangku dan memikul tanggungjawab presiden mesti saya teruskan.

"Ia untuk perkasakan parti dan untuk menyusun dan atur strategi untuk PRU15," kata Mohamad kepada pemberita di Rantau hari ini.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu menyandang kerusi Dewan Rantau sejak 2004.

Beliau memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada pilihan raya umum tahun lalu.

Bagaimanapun, mahkamah membatalkan kemenangan yang berpunca daripada tindakan pegawai pilihan raya menghalang Dr S Streram dari PKR memfailkan kertas pencalonannya pada pilihan raya umum itu.

Walaupun beliau mempunyai kelebihan di tempat sendiri, ini merupakan kali pertama Mohamad bertanding sebagai pembangkang selepas Pakatan Harapan (PH) menguasaio Negeri Sembilan tahun lepas.

Mohamad berkata beberapa ahli politik lain termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah bangkit daripada kekalahan dalam pilihan raya umum 1969 dan kemudian menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohamad, calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram serta dua calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Hari pengundian ditetapkan pada 13 April.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS