PARLIMEN | Kerajaan persekutuan hari ini membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan berkenaan status Sabah dan Sarawak sebagai negeri dalam persekutuan.
Fasal baru (2) itu akan memperincikan semua negeri yang membentuk persekutuan dengan mengembalikan - dengan pengubahsuaian - peruntukan semasa pembentukan Malaysia pada 1963.
"Pindaan ini dibuat selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia yang dimeterai pada 1963.
"Pindaan ini memenuhi aspirasi dan harapan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, dan semua rakyat Sabah dan Sarawak.
"Pindaan ini, dalam apa-apa cara, tidak mengubah fungsi kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri di bawah konsep federalisme," menurut huraian RUU itu.
Baca: Pembangkang Sabah, S'wak mahu RUU pinda Perkara 1(2) ditarik
Bagaimanapun, kata huraian itu lagi, RUU itu akan melibatkan "perbelajaan wang tambahan" yang belum dapat ditentukan jumlahnya buat masa ini.
Ini bakal menjadi ujian politik besar buat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang hari ini mendapat sokongan 139 anggota dalam Dewan Rakyat - kurang sembilan daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Mahathir berkata tujuan pindaan itu untuk menunjukkan kerajaan persekutuan mengiktiraf yang Malaysia ditubuhkan tiga entiti - Malaya, Sabah dan Sarawak.
"Kerana perlembagaan (sedia ada) tidak jelas, kita perlu ubah perlembagaan itu. Untuk berbuat demikian, kita memerlukan majoriti dua pertiga," katanya.
Jika Mahathir berjaya dalam pindaan perlembagaan itu, Perlembagaan Persekutuan akan dipinda buat kali ke-58. Kali terakhir ia dipinda ialah pada 2009.