Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbicaraan Najib kejayaan penting k'jaan baru - Ezam
Diterbitkan:  Apr 4, 2019 1:34 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor menyifatkan perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang bermula semalam sebagai pencapaian penting kerajaan baru.

Pengerusi badan antirasuah Hisbah berkata menyarankan kerajaan memberi perhatian memburu dan menyiasat pihak yang terlibat dengan rasuah kerana ia mungkin sama atau lebih besar dari skandal 1MDB.

"Kita tahu ramai di kalangan menteri, menteri besar, ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi dalam pentadbiran lalu amat rakus memunggah kekayaan negara untuk diri mereka sendiri dan mereka tidak boleh lepas dari hukuman.

“Harta yang dicuri mesti dikembalikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

 Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memulakan perbicaraan Najib berhubung SRC International Sdn Bhd walaupun pasukan pembelaan cuba menangguhkannya.

Dalam prosiding semalam, saksi pertama dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan rekod tiga syarikat, termasuk SRC, bekas anak syarikat 1MDB.

Dalam kenyataan hari ini, Ezam berkata rakyat akan mewarisi negara yang tidak bermaruah sekiranya kerajaan tidak mempedulikan pemimpin yang terlibat dengan rasuah serta mencuri wang negara.

"Ia (perbicaraan) juga penting dalam sejarah negara ini kerana pertama kali pemimpin tertinggi negara dibicarakan.

"Kita melihat banyak negara lain di dunia yang membawa pemimpin tertingginya melalui proses keadilan dan meletakkan kepentingan serta maruah negara mengatasi mana-mana individu akhirnya tampil sebagai sebuah negara yang berjaya dan berwibawa," katanya.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalah gunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan mengubah wang haram melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS