Selepas bantahan selama beberapa minggu oleh wakil rakyat dan orang ramai, kerajaan akhirnya memutuskan untuk mengadakan usul menggantikan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) Ronald Kiandee dengan anggota parlimen pembangkang.
Anggota parlimen yang dijangka dilantik ke jawatan itu ialah Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong).
Usul itu merupakan perkara sembilan dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Mesyuarat, usul itu akan dibentangkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri.
Noraini yang juga ketua wanita Umno dilantik sebagai anggota PAC pada Ogos 2018 bagi menggantikan bekas pengerusi Hasan Arifin.
BN menamakannya sebagai pengerusi baru selepas Kiandee - anggota parlimen Beluran dan dahulunya pemimpin Umno Sabah - menyertai Bersatu pada 15 Mac lalu.
Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto PRU ke-14 berikrar untuk melantik pengerusi PAC dari kalangan pembangkang.
Mahathir yang sebelum ini bertegas mahu mengekalkan Kiandee nampaknya mengubah pendiriannya selepas beberapa pemimpin dalam PH menggesanya agar mematuhi ikrar dalam manifesto.