Paling Popular
Terkini

PRK RANTAU l Hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau menyaksikan pihak polis bertindak menahan sebuah trak ceramah Pakatan Harapan (PH) yang dipercayai tidak mempunyai permit.

Menurut sumber dari sekretariat Bilik Gerakan Utama, PH, PRK DUN Rantau, bahawa trak itu ditahan pada tengah hari tadi selepas didapati tidak mempunyai permit polis untuk digunakan sebagai pentas berceramah.

"Kami diberitahu pihak polis menahan trak tersebut selepas ada laporan polis dari kem BN. Polis menahan trak tersebut atas dakwaan (kita) menggunakan trak tersebut untuk berceramah sambil bergerak.

"Pihak polis juga meminta pemilik trak serta pemandu ke balai untuk siasatan," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, bekas timbalan setiausaha agung PKR, P Janapala mengesahkan penahanan trak tersebut.

"Trak itu dilepaskan baru tadi. Pemiliknya diminta membawa geran asalnya untuk melepaskannya dan mengambil kenyataan daripada pemandu," katanya.

Beliau turut menafikan trak tersebut tiada permit.

Sebaliknya, trak tersebut ditahan atas dakwaan berceramah sambil bergerak.

"Semasa kempen PRK ada syarat tambahan bahawa kita tidak boleh berbuat demikian. Namun, kami menjelaskan kepada pihak polis bahawa kami tidak berceramah (tetapi) sebaliknya hanya menggunakan pendrive memainkan lagu-lagu PKR.

“Tiada penceramah dalam trak itu," kata Janapala.

Pihak polis juga dilaporkan mengambil pendrive tersebut sebagai bahan bukti. 

Janapala dalam pada itu tidak menolak kemungkinan bahawa aduan oleh BN itu adalah palsu.

"Saya sangat kecewa cara pihak polis mengendalikan kes ini. Mereka sangat keras dan langsung tidak menghormati penjelasan kami.

“Macam, ada agenda kepada pihak yang tahan trak itu," katanya.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru yang melibatkan Streram, Mohamad dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan untuk mengisytiharkan kemenangan Mohamad pada PRU lepas sebagai terbatal.

Ini berpunca daripada tindakan pegawai SPR menghalang Streram daripada memfailkan kertas pencalonannya pada pilihan raya umum 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS