Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng: AS$126 juta harga terbaik untuk Equanimity

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata tawaran AS$ 126 juta adalah "harga terbaik" yang boleh diperolehi kerajaan daripada jualan kapal persiaran mewah Equanimity.

Kapal berkenaan sebelum ini dirampas daripada ahli perniagaan Low Taek Jho yang didakwa membelinya dengan menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB.

"Ini harga yang terbaik. Maksud saya, kamu tak boleh gembira dengan harga itu kerana kamu mahu lebih tinggi, itu biasalah.

"Tetapi jika ini adalah harga terbaik yang kita dapat berdasarkan tender terbuka, saya fikir kita harus terima ini adalah harga terbaik yang akan kita dapatkan," katanya kepada wartawan di lobi parlimen hari ini.

Lim menegaskan kapal itu akan dijual meskipun laporan media tempatan mendakwa ia tidak boleh dijual lebih daripada harga RM100 juta.

Terdahulu hari ini, Pejabat Peguam Negara mengesahkan Genting Group akan membeli kapal mewah berkenaan dengan harga AS$ 126 juta (RM514.2 juta).

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga rizab bagi kapal itu sebanyak AS$ 130 juta.

Low didakwa membelanjakan AS$ 250 juta sebagai komisyen bagi kapal mewah berkenaan, yang didakwa menggunakan dana yang dialihkan daripada 1MDB.

Lim berkata beliau tidak jelas siapa lagi pihak yang telah membida kapal berkenaan tetapi menyatakan bahawa tawaran Genting adalah yang tertinggi.

Beliau mengalu-alukan jualan kapal itu kerana kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM14.2 juta dalam tempoh lapan bulan terakhir untuk penyelengaraan kapal berkenaan yang kini berlabuh di Langkawi.

"Itu jumlah yang sangat besar, jika kita dapat menjualnya dengan cepat dan mendapatkan harga terbaik, sekurang-kurangnya kita tidak perlu menanggung jumlah itu.

"Ia hampir RM2 juta sebulan jadi ia sangat mencabar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS