Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kawan saya berhenti tonton Mr Bean, kata Jamil Khir

Kenyataan dan cadangan yang dikeluarkan oleh menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) lebih lawak berbanding rancangan Maharaja Lawak dan siri komedi televisyen Mr Bean, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Jamil Khir Baharom.

"Beberapa kawan saya memberitahu saya bahawa mereka berhenti menonton rancangan Maharaja Lawak dan Mr Bean.

"Apabila saya tanya kenapa, mereka kata ini menteri-menteri PH pun tak larat nak gelak," katanya di Majlis Mesra bersama Tok Mat di Kampung Bemban di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, semalam.

Berceramah di hadapan lebih 400 pengundi dan penyokong BN, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata rakyat kini pening dengan cara pentadbiran negara dan cadangan menteri yang tidak realistik.

"Ada yang kata buang sawit tanam buluh. Tapi, tak bagitahu buluh yang mana kena tanam. Ini negara kita ada lebih lima juta hektar tanam sawit. Bukan senang nak tebang sawit begitu sahaja," katanya.

Beliau dipercayai merujuk laporan akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh" yang memetik kenyataan menteri Industri Utama, Teresa Kok agar penamanam buluh menggantikan tanaman kelapa sawit.

Bagaimanapun Teresa berkata, tanaman buluh, nanas dan kelapa yang disebutkan beliau adalah sebagai cadangan alternatif kepada para pekebun kecil dan bukan menggantikan tanaman kelapa sawit keseluruhannya.

Sementara itu, Jamil berkata baru-baru ini terdapat pula cadangan agar memulakan kempen minum satu sudu minyak sawit setiap hari.

"Ini ada pula dalam kempen sayang sawit minta minum satu sudu minyak sawit setiap hari. 

"Di Selangor lagi teruk, minta tanam ganja. Kata boleh dapat RM9 juta satu kalau tanam ganja berbanding RM3,000 kalau tanam sawit," tambahnya merujuk cadangan Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli agar Selangor menjadi pengeluar ganja terbesar dunia.

Turut hadir dalam ceramah itu ialah Calon BN, Mohamad Hasan dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perlis Shahidan Kassim.

"Sebab itu, bila bercakap kena fikir. Kalau pembangkang memang sedap nak cakap, tapi kerajaan kita kena realistik. 

"Ini harga sawit tak turun, harga minyak tak turun, yang boleh (dibuat) kasut sekolah tukar warna hitam," selorohnya lagi.

Sementara itu, Jamil turut meminta pengundi Rantau khususnya pengundi dari Kampung Bemban supaya menyokong Mohamad Hasan.

"Pada 13 April nanti, saya harap pengundi hantar satu 'signal' (isyarat) kepada Putrajaya dengan mengumumkan Tok Mat sebagai pemenang PRK ini."

"Biar aras kemenangan Cameron Highlands dan Semenyih berterus di Rantau juga," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS