Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar jelaskan mengapa Streram, bukan Melayu jadi calon

PRK RANTAU | Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam tiga sesi ceramah malam tadi menjelaskan mengapa beliau memilih Dr S Streram dan bukan Melayu sebagai calon dalam pilihan raya kecil DUN Rantau.

Walaupun nada ucapannya berbeza- bergantung sama ada sesuatu ceramah itu lebih ramai Melayu atau sebaliknya- Anwar menjelaskan empat perkara utama mengapa Streram dipilih iaitu:

- Untuk mengotakan janji meletakkan seorang calon India di Rantau.

- Orang Melayu tidak terancam kerana jawatan menteri besar Negeri Sembilan dan perdana menteri milik orang Melayu.

- Usaha Streram memfailkan petisyen pilihan raya yang membawa kepada pilihan raya kecil itu; dan

- Menghargai misi kemanusiaan Streram untuk umat Islam di Sudan dan Afghanistan.

Keputusan Anwar meletakkan Streram sebagai calon tidak diterima secara meluas, termasuk dari dalam partinya sendiri.

Ini selepas BN berjaya memenangi dua pilihan raya kecil lalu, yang sebahagian besarnya hasil daripada kerjasama PAS dan isu melibatkan sentimen Melayu-Islam.

Bagaimanapun, Anwar berkata Streram dipilih memandangkan PKR telah berjanji untuk meletakkan calon India di Rantau pada pilihan raya umum ke-14, sebagai pertukaran untuk meletakkan calon Melayu di Jeram Padang.

"Orang kata Malay survival, PAS dah gabung dengan Umno oleh itu kena letak Malay candidate.

"Jadi orang India di Port Dickson saya minta dia sokong, (MP) Gopeng Boon Chye minta India sokong dia. Rantau tak boleh India mesti Melayu juga, its not fair (itu tidak adil)," katanya semasa ceramah di Taman Angsamas malam tadi.

Anwar membuat kenyataan yang sama di ceramah kedua di Taman Sri Ramai dan ceramah terakhir beliau di Kampung Felda Sendayan.

Ceramah di Taman Angsamas dan Taman Sri Ramai, masing-masing dihadiri kira-kira 300 dan 200 orang, kebanyakannya adalah orang India.

Di Kampung Felda Sendayan, kebanyakan 400 hadirin yang hadir terdiri daripada orang Melayu.

Semasa ceramah terakhir itu, Anwar juga menyuarakan isu- isu Melayu, termasuk semasa beliau mengetuai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) - untuk meredakan kebimbangan yang mungkin dimiliki oleh Melayu yang hadir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS