Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon bebas mahu tumpu kempen isu kitar semula

Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, R Malarvizhi, 51, berhasrat untuk memperjuangkan konsep kitar semula yang lebih teratur, efisien dan sempurna khususnya di kawasan perkampungan di Rantau.

Bekas penyampai radio di Toronto, Canada itu berkata bahawa Rantau perlu menjadi perintis nombor satu dalam budaya kitar semula di negara ini.

“Kita harus ada pemimpin yang membawa masyarakat ke jalan yang betul,” katanya selepas melancarkan manifestonya di pekan Rantau, malam ini.

Antara fokus lain beliau ialah menyediakan tempat penginapan murah dan berkualiti, membaik pulih infrastruktur, mewujudkan pengangkutan awam mesra pengguna serta membaiki infrastruktur di kawasan yang sering dilanda banjir.

Pada masa sama, beliau juga mengajak penduduk Rantau untuk turut aktif dan mempunyai jati diri kerana perkembangan dan penambahbaikan secara berterusan adalah tanggungjawab bersama.

Katanya, manifesto yang bertemakan `Fokus Rantau' merupakan idea sendiri dan hasil pengalaman serta pemerhatiannya membesar di Rantau sejak kecil lagi.

“Walau bagaimanapun, saya perlu duduk dengan masyarakat untuk mengetahui apakah yang perlu dilakukan untuk kebajikan masyarakat Rantau sebelum melaksanakan janji saya,” katanya.

Dalam pada itu, calon bebas bagi PRK Semenyih yang lepas, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ berkata rakyat perlu memberi peluang kepada calon bebas kerana semangat tinggi calon itu untuk membantu rakyat tanpa birokrasi.

“Kita harus bertanding demi rakyat. Jika anda kalah, tolong tetap beri khidmat kepada mereka. Rakyat tidak lagi bodoh,” katanya yang menjadi tetamu undangan bagi pelancaran manifesto tersebut.

Hari mengundi bagi PRK Rantau 13 April ini.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan calon BN, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS