Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ: Sudah tiba masa k'jaan berhenti salahkan BN isu kewangan

PARLIMEN | Sudah tiba masa kerajaan PH berhenti menuding jari kepada BN dalam menjelaskan masalah kewangan negara, kata bekas menteri BN.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) merupakan bekas menteri yang mula-mula membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2018) 2019 bagi bacaan kedua hari ini.

Khairy, yang merupakan menteri kewangan dalam kabinet bayangan BN, mendakwa kerajaan sentiasa menggunakan alasan kekangan kewangan - dengan menyalahkan hutan RM1 trilion dan liabiliti yang didakwa ditinggalkan kerajaan sebelum ini dan skandal 1MDB - untuk menjelaskan kegagalan menunaikan janji pilihan raya.

Ketika pembentangan RUU itu, Lim meminta kerajaan meluluskan belanjawan tambahan RM19.6 bilion, yang diperlukan termasuklah bagi menampung RM6 bilion komitmen yang dibuat oleh kerajaan terdahulu tetapi tidak disediakan peruntukan.

Susulan itu, Khairy membangkitkan bantuan RM100 bagi golongan bujang dan projek kereta nasional ketiga.

"Tetapi apabila ada PRK boleh pula cari duit. RM100 diumumkan untuk golongan bujang sempena PRK Semenyih, kata tak ada duit. Tetapi bila ada PRK, boleh cari duit.

"Kata tak ada duit, insentif marhaen miskin dipotong tetapi boleh cari RM20 juta untuk kereta nasional ketiga yang sebenarnya jadi bahan jenaka seluruh dunia.

"Apa strategi ekonomi PH?" katanya.

Khairy menambah: "Ini naratif yang kita dengar daripada menteri kewangan, kerajaan PH sejak hari pertama. Hutang RM1 trilion sebab 1MDB, hutang RM1 trilion tak ada duit semuanya sebab 1MDB.

"Tetapi naratif ini diguna daripada hari pertama sebab menjadi alasan untuk tidak tunaikan janji," katanya.

Sementara itu, ketika bercakap dengan pemberita selepas penggulungan ucapan Lim, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan untuk berhenti menyalahkan pihak lain.

"Tak patut salahkan orang lain. Buat yang terbaik, atau buat yang lebih baik jika kata kerajaan lama terlibat dalam banyak salah laku.

"Jangan salahkan beban yang dihadapi ketika ini pada kerajaan lama," katanya.

Zahid yang juga merupakan ahli parlimen Bagan berkata rakyat sedang menunggu perubahan dan pembaharuan, bukannya menunggu kerajaan menyalahkan rejim lama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS