Paling Popular
Terkini
story images
story images

PRK RANTAU l Janji bekas ketua menteri Melaka Idris Haron malam semalam untuk menghadiahkan dua ekor kambing sebagai jamuan kenduri jika BN menang di sebuah daerah mengundi dalam kawasan pilihan raya kecil DUN Rantau tidak mendapat sambutan.

Sebaliknya, Pemangku Presiden Umno, Mohamad Hasan yang bertanding di kerusi itu tampil membidasnya.

“Tak boleh janji salah. Tu dia janji. Lantak dia la.

“Nanti kita kambingkan dia,” kata Mohamad.

Semalam, berucap di hadapan pengundi di daerah mengundi Taman Angsamas, Idris berkata kenduri itu akan diadakan jika calon Mohamad mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram dengan 300 undi.

Berdasarkan data peringkat parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), BN sebelum ini tewas kepada PKR di Angsamas dengan majoriti 22 undi.

"Kalau menang 300 undi saya datang, saya sponsor dua ekor kambing untuk kenduri di Taman Angsamas," kata Idris.

Menyedari kenyataannya mungkin merupakan satu kesalahan pilihan raya, Idris bagaimanapun berkata kenduri itu tidak akan diadakan pada masa ini.

Di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya, adalah merupakan suatu kesalahan untuk menjamu seseorang sama ada sebelum, semasa atau selepas pilihan raya.

Jika sabit kesalahan ia boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM1,000 dan RM5,000.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru yang melibatkan Streram, Mohamad dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan untuk mengisytiharkan kemenangan Mohamad pada PRU lepas sebagai terbatal.

Ini berpunca daripada tindakan pegawai SPR menghalang Streram daripada memfailkan kertas pencalonannya pada pilihan raya umum 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS