Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara kes jurugambar hina Hindu pada 23 April
Diterbitkan:  Apr 1, 2019 5:28 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 23 dan 24 April ini untuk perbicaraan kes bekas jurugambar syarikat produksi, Zamri Abdul Razak, atas dua tuduhan memuat naik status jelik menghina agama Hindu dalam Facebooknya, bulan lalu.

Hakim MM Edwin Paramjothy menetapkan tarikh itu selepas sebutan semula kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim mengendalikan kes manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Harris Abdullah.

Pada 18 Mac lepas, Zamri, 52, yang pada mulanya mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut, menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika kes ditetapkan untuk jatuh hukum pada hari berkenaan.

Tindakan tertuduh yang menukar pengakuan saat akhir itu menyebabkan dia ditegur oleh Hakim Zamri Bakar kerana menyebabkan pihak lain terpaksa menunggu dari awal.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Zamri didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Zamri Bin Abd Razak” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dua komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca seorang pengguna Facebook “Saravana Kumar” di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur, jam 12.45 tengah hari, pada 10 Mac 2019.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum menurut Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS