Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Redzuan: Pendirian Yeo isu Lynas bukan keputusan kabinet

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof hari ini berkata pendirian Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berhubung Lynas tidak mendapat sokongan kabinet.

Redzuan berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Yeo yang menegaskan sisa Water Leached Purification (WLP) dari kilang Lynas perlu dihantar keluar dari negara ini.

"Keputusan kabinet jelas, iaitu membenarkan Lynas terus beroperasi. Soal sisa (kilang Lynas) adalah perkara lain yang perlu ditangani.

"Tiada keputusan bersama yang dibuat kerajaan untuk menghantar sisa itu ke Australia. Kita perlu ada persefahaman dua hala (dengan Australia berhubung perkara itu)," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Ketika dimaklumkan bahawa Yeo sendiri yang menyatakan bahawa Lynas perlu membawa keluas sisa itu dari negara, Redzuan berkata dia tidak pasti jika itu hanya pendirian peribadi Yeo.

"Saya tak pasti jika itu pendirian peribadinya atau keputusan yang dibuat kabinet, tapi kita belum membuat keputusan muktamad bersama untuk menghantar sisa berkenaan ke Australia," katanya.

Laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) yang diterbitkan pada 4 Dis lalu berkata Lynas perlu menyediakan kemudahan pelupusan kekal (PDF) bagi sisa buangannya WLP.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu berkata sekiranya lokasi itu tidak dapat dikenal pasti atau diluluskan pihak berkuasa, maka Lynas perlu membawa sisa buangan berkenaan keluar dari Malaysia.

Selain WLP, operasi Lamp yang bermula sejak 2012 juga menghasilkan sisa Neutralization Underflow Residue (NUF) yang dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual yang mana pengurusannya dikawal selia oleh Jabatan Alam Sekitar.

Kenyataan Redzuan dibuat beberapa jam selepas Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis menegaskan kepada Dewan Rakyat bahawa kementeriannya mahu Lynas membawa keluar sisa buangan dari negara.

Munirah berkata pasukan petugas khas sudah menulis surat rasmi kepada pihak Australia pada 26 Feb lalu untuk membantu pelupusan sisa WLP untuk dibawa keluar dari Malaysia.

Munirah juga memaklumkan bahawa pasukan petugas khas sedang mengenal pasti prosedur antarabangsa dan peralatan bagi membawa keluar WLP dari negara.

Sabtu lalu, Redzuan berkata kerajaan akan membenarkan Lynas terus beroperasi untuk kepentingan pelaburan luar.

Susulan itu, Ahli Parlimen Bentong Wong Tack yang juga merupakan salah seorang penggiat gerakan anti-Lynas memberitahu Redzuan agar tidak masuk campur dalam urusan yang bukan bidang kuasanya.

Kenyataan Redzuan juga telah menyebabkan pemimpin PH dikritik pembangkang berhubung pendirian sebenar terhadap isu Lynas.

Bagaimanapun, Redzuan hari ini mempertahankan kenyataannya apabila ditanya pemberita.

"Masih terlalu awal untuk buat keputusan, untuk meminta orang bawa keluar sisa buangan... Kita kerajaan yang mesra perniagaan. Pelaburan Lynas terlalu besar untuk diabaikan.

"Untuk bawa keluar sisa buangan ke Australia bukan keputusan bersama yang dibuat kabinet. Ia cadangan yang perlu pertimbangan, kita perlu urus sisa buangan.

"Kita bergantung kepada fakta dan laporan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS