Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet putuskan laporan CEP kekal sulit atau tidak

Kabinet akan memutuskan sama ada laporan disediakan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) akan didedahkan kepada umum atau tidak, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Saya difahamkan yang satu mesyuarat akan diadakan dalam kalangan kabinet, dan kabinet akan putuskannya. Saya sendiri yang akan bercakap dengan perdana menteri," katanya pada sidang media di KL Sentral, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga maklum beberapa syor dalam laporan CEP tidak diselesaikan dan ada beberapa perkara sensitif lain di dalamnya yang perlu diambil kira.

Wan Azizah berkata demikian apabila ditanya mengenai kemungkinan kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk mendedahkan kepada umum kandungan laporan CEP.

Untuk rekod setakat ini laporan tersebut diklasifikasikan sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pemimpin PH, termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali; Pengerusi CEP Daim Zainuddin dan anggotanya, Jomo K Sundram serta badan bukan kerajaan menentang keputusan kerajaan untuk mengklasifikasikan laporan tersebut di bawah OSA.

Sementara itu, Wan Azizah sekali lgi meminta rakyat memberi "masa dan peluang" kepada kerajaan.

"Bira kita masa dan peluang, kita ambil alih sistem yang lama, 60 tahun bertapak.

"Saya doktor... Kita ambil alih dan buat 'pembedahan' (operation) dan dapati penyakitnya jauh lebih daripada apa yang dijangka, jadi perukan lebih masa untuk tangani dan rawat pesakit," katanya lagi.

Hari ini bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dalam wawancara bersama The Star berkata perasaan positif yang dinikmati PH selepas menang PRU ke-14 kian pudar apabila kerajaan gagal menunaikan janjinya, termasuk mengurangkan kos sara hidup.

Beliau menasihati PH agar memahami kemarahan rakyat dan bersikap jujur, selain meningkatkan dialog dan komunikasi dengan rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS