Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bimbang siaran langsung perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak - dijadual bermula 3 April ini - menjadikannya riuh dan kacau seperti 'persembahan sarkas'.
"Itu bidang kuasa mahkamah, biar mahkamah memutuskannya.
"Walaupun kita merasakan rakyat ingin mengetahui perjalanan perbicaraan Najib, kita tak mahu menjadikannya satu persembahan sarkas," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas usaha warganet mengembalikan petisyen yang bermula di Change.org sembilan lalu agar perbicaraan Najib disiar secara langsung.
Najib sendiri menyokong cadangan itu dan menurutnya ia akan membantu perbicarannya berjalan dengan telus dan mematuhi kedaulatan undang-undang.
Najib berdepan 42 pertuduhan jenayah dan sepuluh daripadanya berkaitan SRC International, dulunya sebuah subsidiari 1MDB.
Berkaitan SRC International, Najib antaranya dihadapkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Pada 8 Februari lalu, pihak pendakwa menambah tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya kerana didakwa menerima dana tidak sah berjumlah RM47 juta pada 8 Julai 2014.
Perbicaraan Najib pada awalnya dijadual bermula 12 Februari lalu, tetapi ditangguhkan untuk menunggu keputusan empat permohonan yang difailkan Najib.
Selain itu, perbicaraan kes 1MDB terhadap Najib juga dijadual bermula pertengahan April ini.