Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masalah dalaman PH hanya sementara, kata Daim
Diterbitkan:  Mar 31, 2019 12:21 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin mengakui kerajaan PH berdepan masalah dengan perkongsian kuasa dalam kalangan anggota kabinet dan parti komponennya.

Bagaimanapun kata bekas menteri kewangan itu, apa yang dihadapi sekarang anggap sebagai "masalah sementara."

"Ia adalah sifat biasa seorang manusia apabila anda tidak memegang kuasa, anda sanggup berkongsi segala-galanya dengan semua orang.

"Tetapi hakikatnya adalah apabila anda memperoleh kuasa itu, sikap murah hati yang ada itu pun mula pudar.

"Anda harus ingat bahawa kerjasama dalam gabungan BN telah dibina selama bertahun-tahun, sedangkan gabungan dalam PH sangat baru," katanya.

Justeru kata Daim isu seperti perkongsian kuasa akan timbul kerana tidak semua orang mempunyai nilai altruistik yang tinggi," katanya dalam satu wawancara disiar The Star hari ini.

Daim menegaskan barisan kabinet PH mempunyai "wakil yang sama rata dalam setiap parti komponen" dan berbeza dengan BN yang didakwanya yang mengamalkan dasar "perwakilan berkadar."

Janji banyak dari PH

Tokoh yang memang dikenali sebagai orang dipercayai Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu berkata penting bagi PH sebagai sebuah gabungan yang muda untuk mencari matlamat dan prinsip bersama.

"PH perlu menumpukan perhatian pada kekuatannya iaitu komitmennya terhadap demokrasi dan janji-janjinya untuk memperkukuhkan institusi-institusi perlembagaan negara.

"Selepas insiden 13 Mei, kita mengamalkan Rukun Negara, jika kita mengikuti Rukun Negara itu, kita tidak akan tersasar."

Dalam wawancara itu, Daim juga menasihatkan kerajaan PH untuk bersama dengan rakyat dan menangani masalah yang wujud untuk memenuhi janji pilihan raya.

Beliau juga memberi amaran kepada PH supaya tidak mengambil ringan isu rakyat kerana mereka "lebih bijak daripada yang anda sangka".

Katanya rakyat akan menghargai kejujuan kerajaan.

"PH pada dasarnya terlalu banyak berjanji dalam tempoh yang singkat.

"Perlu ada lebih banyak dialog dan komunikasi daripada kerajaan dengan rakyat untuk menangani masalah ini, dan memberi jaminan kepada mereka bahawa keperitan ini sedang cuba ditangani dan diteliti.

"Mereka tidak suka jika anda layan mereka seperti orang bodoh," katanya.

Menurut Daim isu politik perkauman yang memecah-belahkan - yang asalnya bermula daripada permainan bagi ahli politik yang cuba meraih sokongan - akhirnya boleh memudaratkan.

Daim terus mempersoalkan mengapa masyarakat Melayu dilihat seolah-olah begitu mempercayai ahli politik yang memberitahu rakyat tertentu kononnya kedudukan mereka sedang terancam.

"Kenapa mereka seperti sering melihat 'hantu' di sekeliling mereka?

"Semakin hak keistimewaan mereka bertambah, malangnya begitu juga perasaan tidak selamat mereka.

"Dan begitu juga dengan semangat mereka yang meluntur," katanya.

Sebelum ini, Daim dilaporkan berkata bahawa naratif orang Melayu terancam hanyalah "retorik politik."

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS