Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kupang, Najmi Ahmad, 68, mengalami cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan di KM 43.4 Jalan Sungai Petani-Baling berhampiran Simpang Tiga, Kampung Landak, dekat Baling, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, DSP Mohd Yusuf Shaari berkata, kejadian itu berlaku pada jam 9.30 pagi tadi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya ke pekan Kupang.
“Siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Harrier yang dipandu ADUN Kupang itu dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki simpang di Kampung Landak sebelum terlanggar kereta Perodua Viva dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimapun, katanya, semua mangsa termasuk ADUN tersebut serta pemandu dan penumpang kereta Perodua Viva, mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Baling.
Mohd Yusuf berkata ADUN itumengalami sakit pada belakang leher dan bahu dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
- Bernama