Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li: Aset Hong Kong hak k'jaan tapi lebih elok jangan jual

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat lebih elok jika kerajaan tidak menjual dulu Bangunan Malaysia di Hong Kong.

Tengku Razaleigh, yang merupakan menteri kewangan ketika kerajaan Malaysia membeli bangunan itu pada 1980, percaya bahawa bangunan berkenaan bernilai RM1 bilion.

"Bagi saya elok kita simpan kerana kalau nak beli pula (nanti) harganya dah melambung naik.

"Dulu kita beli HK$200 juta, kalau tak silap. Tapi sekarang ni dah RM1 bilion nilai tanah beli," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Bangunan Malaysia mendapat perhatian media pada 19 Mac ketika bekas perdana menteri Najib Razak memuat naik kenyataan di media sosialnya bahawa kerajaan persekutuan cuba menjual aset berkenaan.

Susulan itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu parlimen pada Selasa lalu bahawa kerajaan BN di bawah pentadbiran Najib pernah cuba menjual aset itu dengan harga RM1.1 bilion melalui rundingan terus sebelum pilihan raya umum tahun lalu.

Lim juga berkata kerajaan yang kini sudah membatalkan urusan itu, tidak menerima tawaran lebih 50 peratus.

Sementara itu, menurut Tengku Razaleigh, kerajaan Malaysia memperoleh bangunan berkenaan sebelum ini kerana terdapat keperluan untuk meletakkan agensi kerajaan dalam satu bangunan.

"Kita beli kerana ada keperluan untuk agensi kerajaan yang bertindak di sana (Hong Kong).

"Jadi dia duduk berselerak, merata tempat, jadi difikirkan oleh kementerian luar, eloklah mereka tu duduk dalam satu bangunan," katanya.

Antara lain, kata Tengku Razaleigh lagi, bangunan berkenaan ketika itu menempatkan agensi berkaitan pelancongan, perdagangan, dan industri getah, selain menempatkan kedutaan Malaysia.

Ditanya sama ada beliau bersetuju atau tidak sekiranya kerajaan menjual bangunan itu, Tengku Razaleigh berkata: "Itu hak kerajaan".

Bagaimanapun beliau mengulangi bahawa lebih elok kerajaan tidak menjual aset itu ketika ini.

"Kalau pun tak ada duit, kita pun dah berkerajaan, mesti ada cara yang boleh kita cari dari punca lain. Takkan nak jual segala-galanya?" katanya.

Malaysiakini difahamkan pentadbiran Najib pernah cuba menjual bangunan 25 tingkat di Jalan Gloucester, Wanchai itu kepada syarikat berpusat di Kota Kinabalu, Sabah.

Malaysiakini juga difahamkan kerajaan persekutuan mahu menjual bangunan itu kerana kos penyelenggaraan yang meningkat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS