Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar, Azmin perlu saling mempercayai'
Diterbitkan:  Mar 28, 2019 6:43 PM
Dikemaskini: Mar 29, 2019 11:18 AM

Kekuatan PKR adalah dari gabungan kekuatan presidennya Anwar Ibrahim dan timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali, kata Adun PKR Dr Afif Bahardin.

Justeru, kata Afif, penting untuk kedua-dua pemimpin itu saling mempercayai antara satu sama lain.

"Anwar perlu bersikap seperti presiden, boleh mendengar dan bekerja secara dekat dengan timbalannya. Kepercayaan antara mereka perli dibina semula, terutamanya selepas pemilihan parti yang sengit.

"Kedudukan Azmin terjamin dengan kemenangan dalam pemilihan parti (mengalahkan Naib Presiden Rafizi Ramli), jadi harapan akar umbi untuk Azmin menjadi timbalan Anwar perlu dihormati.

"Perlu ada sikap saling menghormati antara presiden dan timbalan presiden," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Exco Pulau Pinang itu berkata demikian sebagai mengulas nasihat Anwar kepada Azmin agar "bertenang".

Anwar sebelum ini memberi nasihat itu ketika diminta mengulas berhubung ciapan Twitter yang dipercayai kritikan kepada anaknya, Nurul Izzah.

Anwar juga berkata, ada orang ingin mempertahankan prinsip dan pendirian, sementara ada orang yang mahu mempertahankan kedudukan dengan cara apa sekali pun.

Ciapan Twitter Azmin sebelum itu menyebutkan bahawa negara memerlukan pemimpin yang sanggup berjuang, bukannya pemimpin "cengeng".

Azmin membuat kenyataan itu ketika media melaporkan kenyataan Nurul Izzah dalam wawancara media Singapura, yang antara lain menyatakan kekecewaan terhadap kelembapan agenda reformasi dalam kerajaan.

Dalam wawancara itu, Nurul Izzah juga menggambarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai "bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan".

Sementara itu, Afif berkata, PKR perlu diuruskan secara profesional berdasarkan kedudukan dan disiplin.

"Parti perlu diuruskan seperti sebuah syarikat, bukannya urusan keluarga.

"Masa sudah berubah. Malaysia baru memerlukan PKR melaksanakan reformasi dalaman yang diterajui Anwar dan Azmin untuk mengukuhkan parti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS