Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 subkontraktor TNB cedera, kabel voltan tinggi terbakar

Dua pekerja sub kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera apabila kabel voltan tinggi meletup ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan berhampiran pencawang TNB dekat Sauk, Kuala Kangsar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Razali Ibrahim berkata mangsa Mohd Redhuan Mat Nasir, 32, melecur di bahagian kaki hingga ke dada manakala Mat Sham Hashim, 58, melecur di bahagian badan.

Beliau berkata siasatan mendapati letupan berlaku apabila kedua-dua pekerja itu sedang melakukan kerja menyambung kabel ke transformer pada tiang elektrik.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Zainal Ahmad Taken berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.40 tengah hari sebelum menggerakkan satu jentera dengan lima anggota ke lokasi kejadian.

“Semasa kejadian pekerja itu dipercayai sedang melakukan kerja-kerja pembaikan kabel sebelum kabel itu meletup dan terkena mereka sebelum kedua-duanya terjatuh dari staging (perancah),” katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Zainal berkata kedua-dua mangsa di bawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata siasatan awal mendapati, letupan berlaku akibat litar pintas semasa kerja penyelenggaraan sedang dijalankan.


-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS