Malaysiakini telah memenangi geran inovasi daripada Google News Initiative (GNI), program kewartawanan gergasi teknologi itu yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Malaysia merupakan salah satu daripada 23 pemenang Asia-Pacific Innovation Challenge GNI. Pemenang diumumkan dalam satu hantaran blog Google malam tadi.
Ketua Berita dan Penganjuran Penerbitan Asia Pasifik Google Kate Beddoe berkata, pertandingan yang julung kali diadakan itu bertujuan "mengukuhkan sokongan kami terhadap inovasi digital dan model perniagaan berita di organisasi media di rantau Asia-Pasifik".
Beliau mengumumkan sejumlah AS$3.2 million (RM13.0 million) akan diberikan kepada penerima geran.
Selain Malaysiakini, satu lagi pemenang dari Malaysia adalah pasukan R.AGE dari The Star.
Pemenang lain termasuk Singapore Press Holdings (antara akhbarnya adalah Straits Times), Tempo Indonesia dan The Guardian Australia.
Terdapat 215 pemohon daripada 18 negara Asia-Pasifik yang menyertai pertandingan itu.
Melalui cadangan "Kini Community" yang dipilih itu, Malaysiakini akan memperkenalkan model langganan yang menggabungkan ganjaran komuniti dan pengiktirafan kepada pembaca.
Ia bertujuan mewujudkan sistem ganjaran berdasarkan markah dan program kesetiaan yang menggalakkan pembaca untuk lebih berinteraksi dengan Malaysiakini dan komunitinya.
"Kami gembira kerana geran ini akan membantu kami memberikan lebih banyak cara untuk pembaca berinteraksi dengan Malaysiakini dan pembaca lain.
"Kami percaya kepada interaksi pembaca adalah kunci kepada sokongan terhadap media bebas dan berwibawa," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran.
Cadangan itu ditulis secara bersama oleh Premesh, pengurus kanan produk Sean Ho dan subeditor Koh Aun Qi.
Penerima geran dijangka mencipta produk dalam masa setahun dan membentangkan dapatan mereka dengan Google dan komuniti kewartawanan.