Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Terima kasih menteri' - MP BN puji Zuraida
Diterbitkan:  Mar 27, 2019 4:30 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

PARLIMEN | Sesuatu yang jarang berlaku dilihat di Dewan Rakyat apabila anggota parlimen pembangkang memuji menteri Pakatan Harapan (PH) ketika sesi penggulungan hari ini.

Dalam penggulungannya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin membangkitkan soal rumah mampu milik dan seorang demi seorang anggota parlimen BN bangun untuk bertanya tentang status projek di kawasan masing-masing.

"Saya juga nak minta menteri yang begitu baik hatinya, berbanding menteri lain, ini puji ya. Bila (menteri buat perkara) betul saya kata betul.

"Saya ingin tanya tentang PPR (projek perumahan rakyat) di Sungai Tinggi," kata Noh Omar (BN-Tanjong Karang).

Beliauyang juga bekas menteri KPKT berkata tanah di situ diberi percuma oleh Berjaya Group untuk pekerja ladang tetapi tidak tersenarai dalam projek rumah mampu milik kementerian itu.

Zuraida kemudian menjawab kementeriannya sedang bekerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamooorthy untukmerangka dasar perumahan untuk pekerja ladang dan orang asli, selain dasar rumah mampu milik sedia ada.

Halimah Mohd Sadique (BN-Kota Tinggi) kemudian mencelah dan memuji Zuraida, yang hanya tersenyum.

"Jarang bekas menteri daripada pembangkang memuji seorang menteri PH, ini memang menteri yang perform," katanya.

Halimah Mohd Sadique

Sebelum itu Halimah turut bertanya mengenai status PPR di Kluang.

"Walaupun saya anggota parlimen Kota Tinggi, saya tinggal di Kluang... Projek PPR di Kluang sudah mempunyai tanah walaupun tanah swasta. Pelancaran pecah tanah juga sudah dibuat, jadi saya mohon menteri pertimbangkan bagi rakyat Kluang," katanya.

Menjawab kenyataan itu, Zuraida berkata berkata kerajaan mahu melaksanakan projek itu di tanah negeri dan bukannya milik swasta.

"Untuk Kluang memang ada tanah tapi tanah persendirian, peruntukan juga sudah ada. Kami minta pandangan kerajaan negeri untuk cari tanah kerajaan di Kluang.

"Jika gagal, kita ke peringkat kedua untuk membenarkan syarikat swasta untuk beri cadangan mereka. Jika harganya memadai, insyaAllah kita akan pertimbangkan permohonan tersebut," kata Zuraida.

Terdahulu, Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) juga bertanya sama ada PPR untuk golongan miskin tegar di kawasannya yang telah dirasmikan kerajaan BN pada 2017 masih akan diteruskan.

Abdul Azeez

"Sudah lama saya mahu bertanyakan soalan ini, saya nak tanya adakah menteri kewangan (Lim Guan Eng) bersetuju untuk bantu rakyat Baling dengan meneruskan projek ini kerana tanah itu telah dibeli," katanya.

Zuraida kemudian berkata projek itu sudah diluluskan kerajaan dan akan diteruskan tahun ini.

"Terima kasih menteri," kata Abdul Azeez.

Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang tidak bertanya apa-apa turut bangun untuk mengucapkan terima kasih kepada Zuraida.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada menteri kerana memberi kelulusan untuk PPR di Kuala Krau diteruskan walaupun ia dimulakan oleh menteri terdahulu," katanya.

Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) juga bertanya tentang status projek PPR di kawasannya, khususnya di Kampung Chain.

Mengenai projek itu, Zuraida berkata ia sudah pun disenaraikan dan lawatan tapak akan dilakukan namun pihaknya sedang meneliti perkara itu dengan lebih lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS